SELEPAS sekian lama mendiamkan diri mengenai kontroversi yang membabitkan dirinya, pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali akhirnya memberikan kenyataan balas daripada pihaknya.
Pada awal bulan ini, arena bola sepak domestik digemparkan dengan berita pemain bola sepak Liga Super itu ditahan pihak polis selepas dipercayai menyebabkan kecederaan terhadap bekas teman wanitanya, Hani Farhana Hasrul Sani.
Perkara tersebut berlanjutan sehingga ke muka pengadilan apabila pemain kebangsaan itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada 19 Jun lalu terhadap pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya di sebuah bilik hotel.
Menerusi laman Insta Story milliknya, bekas tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mesra dengan panggilan Jai itu akhirnya membuka mulut berkongsi mengenai isu peribadinya itu.
Tangkap layar Insta Story Rizal Ghazali.
Bek kanan Sang Badak itu mendedahkan bahawa dia mempunyai banyak bukti mengenai kontroversi yang melibatkan dirinya namun lebih memilih untuk mendiamkan diri dan menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk mengadili perkara berkenaan.
"Jai ada banyak bukti tetapi jai tidak akan membuka aibnya, biarlah mahkamah yang mengadili dan menegakkan keadilan. Aib seseorang itu amanah. #familyfirst,” katanya sambil memuatnaik gambar bersama kedua ibu bapanya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa majikannya, Sabah FC turut berpegang pada pendiriannya akan memberi hukuman kepada Rizal selepas pemain itu terbukti bersalah.
Kenyataan itu adalah susulan respons The Rhinos kepada satu ciapan yang mengkritik pihak pengurusan Sabah seperti menyokong keganasan terhadap kerana dilihat mempertahankan Rizal.
Dalam pada itu, pemain kelahiran Kedah itu juga diberi peluang untuk turun beraksi membantu pasukan Bawah 23 tahun (B-23 tahun) The Rhinos dalam aksi menewaskan Penang FC dengan keputusan 1-0 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram