[VIDEO] Bengang dipanggil botak, jurulatih 'sekolahkan' penyokong terlampau


  • Podium
  • Isnin, 26 Jun 2023

De la Fuente ketika dijulang barisan pemain Sepanyol sebaik menjuarai Liga Negara-Negara UEFA 2023. — Agensi

WALAUPUN memenangi kejuataan Liga Negara-Negara (UEFA Nations League) 2023, sebahagian penyokong Sepanyol bertindak memanggil pengendali pasukan, Luis De la Fuente dengan gelaran 'botak'.

Panggilan tersebut ternyata menyinggung perasaan pengendali berusia 62 tahun itu sehingga dia bertindak untuk menegur sikap segelintir penyokong pasukan tersebut.

Menurut De la Fuente, tindakan sebegitu rupa adalah seperti menghina penampilannya dan bagi pengendali dari Sepanyol itu, sebahagian penyokong pasukan tersebut perlu dididik dengan cara yang betul.

Kejadian berkenaan berlaku ketika Sepanyol meraikan kejayaan membawa pulang trofi Liga UEFA bersama penyokong setelah menewaskan Croatia dalam penentuan sepakan penalti.

“Perkara-perkara ini menjengkelkan saya. Sikap biadap dan kurang hormat mereka menjengkelkan saya. Terdapat 20 orang gila (penyokong) yang mengganggu saya. Ia selalu berlaku di tempat-tempat begini, ia merosakkan suasana gembira ini.

“Suasana sedang gembira tetapi perkara-perkara ini merosakkanya. Apa yang akan berlaku jika botak, mereka mengatakan sesuatu tentang warna kulit saya? Saya botak dan saya gembira seperti ini. Orang ramai perlu dididik untuk menghormati orang lain,” katanya dalam satu laporan media.

Situasi membabitkan penyokong mengeluarkan kata-kata sensitif bukan kali pertama berikutan insiden sama menimpa kepada pemain tengah, Gavi.

Ketika sedang membuat ucapan pada majlis meraikan kejayaan Sepanyol itu, penyokong dari kota Madrid menyanyikan Gavi lagu anti-Barcelona.

Untuk rekod, De la Fuente mengambil alih Sepanyol selepas Luis Enrique meletak jawatan setelah tersingkir daripada pusingan 16 Piala Dunia 2022 dengan kekalahan penentuan penalti menentang Maghribi.

Pengendali itu menjalankan proses pembinaan semula dengan memberi impak besar apabila persembahan skuad La Roja dalam Liga Negara-Negara UEFA 2022-23 membuahkan hasil.

"Kami mendapat yang terbaik daripada pemain kami. Kami gembira dengan apa yang telah kami kumpulkan. Saya tidak mempunyai perkataan untuk menggambarkan perasaan saya terhadap mereka. Mereka menunjukkan contoh profesionalisme kepada seluruh pasukan.

“Saya sangat tenang dalam penentuan penalti. Saya memberitahu mereka untuk mengambilnya dengan tenang. Mereka adalah juara bagi saya dan mereka berhak mendapatnya. Sekarang cuti beberapa hari. Kemudian kelayakan ke Kejohanan Eropah. Kami mencapai sesuatu yang luar biasa,” katanya ketika mengulas penentuan sepakan penalti itu.

Sepanyol akan cuba untuk meningkatkan prestasi mereka dengan Kejohanan Euro hampir tiba, yang mana edisi 2024 berlangsung di Jerman.

Kejohanan itu akan menentukan sama ada skuad La Roja boleh kembali ke puncak bola sepak dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram