Masih terlalu awal tagih keajaiban 2 tonggak baharu The Rhinos, Kim Swee ingin tambah seorang lagi pemain import


  • Podium
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Cifuentes dan Machado sudah mulai menjalani latihan bersama The Rhinos. — Facebook/SabahFC

SABAH FC akan menagih sentuhan pemain sayap Sepanyol, Miguel Cifuentes dan penyerang baharu dari Brazil, Ramon Machado untuk menambah serangan The Rhinos.

Kedua-dua penyerang itu boleh beraksi bersama Sang Badak selepas jendela perpindahan kedua bermula pada 5 Julai tetapi mereka difahamkan sudah pun memulakan latihan dengan The Rhinos.

Hal itu kerana, jurulatih Datuk Ong Kim Swee mahu kedua-dua tonggak import itu menyesuaikan diri dengan cara dan taktik mereka sebelum membuat penampilan sulung untuk kelab berpangkalan di Borneo itu.

Cifuentes menyertai kelab dari Kelantan FC, manakala Machado kali terakhir bermain untuk kelab Azerbaijan, Gabala.

Kim Swee berkata, beliau memutuskan untuk menutup kelopongan dalam serangan berikutan ketiadaan Darren Lok dan Saddil Ramdani akibat kecederaan.

“Kami memerlukan pilihan lain, itu penting bagi kami dalam setiap pertandingan. Kami merindui Darren dan Saddil, jadi mereka ini (Cifuentes dan Machado) boleh menggantikan ketiadaan mereka.

“Saya sudah lihat kualiti Cifu ketika dia bermain untuk Kelantan. Dia juga mempunyai pengalaman bertahun-tahun di Sepanyol. Bagi Ramon, dia telah menunjukkan sekilas kualitinya semasa latihan dan kami tidak sabar untuk melihatnya beraksi dalam liga.

"Masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada pemain baharu ini akan melakukan keajaiban tetapi saya yakin mereka akan menambah banyak kualiti kepada pasukan kami,” katanya.

WhatsApp Image 2023-06-24 at 10.34.29

Kim Swee percaya dua pemain baharu itu akan menambah kualiti pada serangan Sabah FC. — Facebook/SabahFC

Sabah kini akan mempunyai lapan pemain import iaitu warga Korea Selatan – pemain tengah, Park Tae-su dan Ko Kwang-min; Brazil – pemain sayap Jailton Paraiba, pertahanan tengah Gabriel Peres; Pemain tengah Portugis Telmo Castanheira; dan pemain sayap Indonesia iaitu Saddil.

Dengan tinggal satu slot lagi untuk melengkapkan sembilan kuota pemain asing yang dibenarkan oleh liga, Kim Swee berkata, dia boleh mencari seorang lagi.

“Jika bajet mengizinkan, saya ingin mempunyai satu lagi. Jika kami mempunyai sembilan yang dibenarkan oleh liga, maka kami akan mempunyai lebih banyak pilihan,” tambahnya.

Buat masa ini, fokus Kim Swee adalah untuk menamatkan tiga kekalahan berturut-turut apabila berdepan Kelantan United dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohd IV, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

Badi tanpa kemenangan Sang Badak bermula pada 28 Mei apabila tewas kepada Kuala Lumpur 1-2 dalam Piala FA, dan kemudian mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Super menentang Kedah (1-2) pada 2 Jun dan PDRM FC (0-1) pada 8 Jun.

“Kami mendahului dalam dua perlawanan pertama, tetapi hilang fokus dan mengganggu pelan permainan kami. Kami sepatutnya kekal kepada rancangan, saya terus mengingatkan mereka itu.

“Kami perlu mendapatkan kembali momentum kemenangan. Kami perlu berada pada kedudukan yang lebih baik dalam liga," katanya.

Skuad The Rhinos kini berada di tangga kelima Liga Super dengan 24 mata. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram