SIAPA sangka bekas pemain import yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) di hujung karier akhirnya muncul sebagai ketua jurulatih pasukan antarabangsa beraksi di pentas Piala Dunia.
Itulah pengalaman bekas ketua jurulatih bola sepak Nigeria, mendiang Stephen Keshi yang pernah bermain untuk banyak kelab di pelbagai benua sepanjang 18 tahun kariernya, namun ramai tidak menyedari bahawa dia pernah beraksi dalam Liga M bersama Perlis.
Sembilan tahun lalu pada 24 Jun 2014, The Star melaporkan bahawa Keshi berjaya mempamerkan aksi menarik sepanjang tempoh singkatnya pada 1997 hingga 1998 di Kangar.
“Ia adalah sebuah bandar kecil dan kebanyakan orang menyukai Keshi semasa berada di sana. Dia tidak mempunyai sebarang masalah di Malaysia,” kata ejen Mali, Issa Diabate, 46, yang membawa Keshi ke Malaysia.
Keshi (tengah) disambut penyokong bola sepak Perlis ketika berjaya membawa pasukan itu layak ke separuh akhir Piala Malaysia 1997.
Bekas pertahanan Perlis FA itu membawa negara benua Afrika tersebut ke kelompok 16 terakhir Piala Dunia 2014 di Brazil dan sebelum kejayaan manis berkenaan, Keshi juga membimbing skuad Super Eagles menjuarai Piala Negara-Negara Afrika pada 2013.
Untuk rekod, Keshi dilantik memegang jawatan sebagai ketua jurulatih Nigeria pada 2011 ketika dia berusia 52 tahun dan lantikannya membuahkan hasil apabila pasukan kendaliannya beraksi dengan cukup baik dalam kejohanan Piala Dunia 2014.
“Keshi adalah bek tengah terkenal yang bermain 386 perlawanan dan menjaringkan 61 gol untuk pelbagai kelab di Afrika, Asia, Amerika Utara dan Eropah, termasuk gergasi Belgium, Anderlecht.
“Dia bermain untuk Perlis sebanyak 34 kali dan menjaringkan empat gol. Dia juga pemain pertahanan antarabangsa yang berpengalaman dengan 64 caps,” kata Diabate kepada The Star pada laporan bertarikh 24 Jun 2014 itu.
Keshi lebih dikenali sebagai “Big Boss” dalam kem Nigeria disebabkan kemahiran kepimpinannya. — Agensi
Bersama seorang lagi ejen, Abdul Razak Abdul Salam, Diabate yang turut memperkenalkan Keshi kepada pengurusan bola sepak Perlis.
Disifatkan sebagai ‘berdedikasi, berdisiplin dan positif’, pemain bola sepak Nigeria itu menjulang Piala Negara-Negara Afrika sebagai pemain (pada 1994) dan jurulatih (2013).
Hanya dia dan Mahmoud El-Gohary dari Mesir memenangi Piala Negara-Negara Afrika sebagai pemain dan jurulatih.
Namun begitu, dua tahun selepas mencipta nama bersama Nigeria di pentas tertinggi bola sepak dunia itu, Keshi meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Jun 2016.
Selepas sembilan tahun sejak menjadikan Nigeria menjadi pasukan digeruni pada saingan Piala Dunia 2014, Keshi kekal dikenang sebagai seorang tokoh bola sepak Afrika. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram