HARIMAU Malaya menutup persembahan perlawanan persahabatan Tier 1 edisi Jun baru-baru ini dengan cemerlang apabila dengan mudahnya menumpaskan 10-0 Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Kuala Nerus, Terengganu pada Selasa.
Kejayaan menang ke atas negara Ocenia itu menyaksikan 10 dicipta yang mana empat diledak tonggak sayap sensasi, Arif Aiman manakala penyerang naturalisasi, Paulo Josue mencipta hatrik.
Pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid; tonggak Selangor FC, Faisal Halim dan pertahanan Sabah FC, Daniel Ting masing-masing menyumbang satu jaringan gol.
Selain Pemain Paling Bernilai (MVP) 2021 dan 2022 itu, kapten Kuala Lumpur (KL) City FC, Josue juga antara yang tampil menyinar dalam dua aksi persahabatan baru-baru ini.
Pemain kelahiran Brazil itu bukan hanya mencetak hatrik ketika aksi menewaskan Papua New Guinea, Josue juga menjaringkan gol debut semasa meraih kemenangan 4-1 ke atas Kepulauan Solomon.
Empat gol dalam dua perlawanan persahabatan itu cukup membuktikan Josue adalah pemain naturalisasi paling cemerlang dan berbaloi buat skuad kebangaan.
Seperti pendapat dari penyokong bola sepak domestik, Don K-Rul Izham mengatakan bahawa pemain berusia 34 tahun itu memberi kesan kepada bahagian serangan negara.
Josue sudah mencetak empat jaringan bersama Harimau Malaya. — Facebook/FAM
“Beraksi sebagai attacking-midfielder, kehadiran Josue amat memberi kesan kepada serangan negara. Josue ini juga pernah beraksi sebagai false 9, left-center midfield sepanjang dengan KL. Multi-position player.
“Jika ada persoalan ditanya adakah proses naturalisasi Josue atas dasar 'keperluan posisi'? Ya sudah tentu. Pemain ini mempunyai visi yang tinggi. Berapa ramai pemain lokal yang boleh beraksi posisi AMF dan menjaringkan banyak gol macam Josue? susah nak cari atau mungkin tiada.
“Josue memberikan akses kepada pergerakan serangan. Visi dalam hantaran, aspek kualiti creative spark dalam game, menambah qualitative superiorities dalam skuad Malaysia.
“Contoh, kita dah ada pemain pantas, trickery macam Miki (Faisal Halim) dan Arif Aiman, kita tambah produk kualiti dengan kemasukan Josue. Ini antara sebab Josue dalam kategori berbaloi berbanding enam pemain naturalisasi lain,” katanya.
Bukan hanya penyokong, malah bekas jurulatih Sang Kenari, Azraai Khor Abdullah juga senada mengakui Josue merupakan seorang pemain tengah menyerang yang berkualiti.
Dalam pada itu, jurulatih berusia 70 tahun tersebut juga berkongsi bahawa kualiti yang ada pemain yang mendapat jolokon ‘Mr Kuala Lumpur’ itu sudah disedarinya sebelum Josue menyertai Liga Malaysia.
“Bertemu dengan pemain ini pada study tour saya kat Brazil 2015 bawah agent Valdir de Sousa dari Etminan Brazil. Pemain attacking midfield yang berkualiti,” kataya ringkas pada hantaran di Facebook.
Dengan kualiti yang ada pada Josue itu membuatkan ramai penyokong berharap agar pemain berketinggian 1.84 meter itu akan terpilih untuk dibawa ke Piala Asia Qatar nanti.
Untuk rekod, pasukan Korea Selatan, Bahrain dan Jordan bakal menjadi halangan Malaysia dalam saingan peringkat Kumpulan E di kempen Piala Asia 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram