KELANTAN United FC (KUFC) memberi laluan buat Ailton dos Santos Silva sebagai ketua jurulatih skuad, Kijang Hijau bagi mengasah kekuatan yang ada dalam pasukan tersebut.
Pengendali kelahiran Brazil yang sebelum ini membimbing kelab Thailand, Chiangmai United itu bersetuju untuk bersama Kelantan United bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim 2023 ini.
Baginya, tugas yang digalas itu dianggap sebagai satu cabaran besar terutama apabila bersama dengan kelab yang bergelut di kelompok bawahan liga.
Namun, dia memandang usaha keras pasukan dari Pantai Timur itu yang cuba untuk bangkit daripada kekalahan yang dialami sebelum ini.
“Mereka bersungguh-sungguh untuk membetulkan kesilapan dan menambah baik aksi serta prestasi dari semua aspek.
“Dengan itu, matlamat kami untuk mempunyai pasukan yang lebih mantap dan mendapatkan kedudukan lebih baik pada musim ini akan tercapai.
“Saya sahut cabaran ini kerana ia adalah satu peluang untuk saya bekerja dalam Liga Super Malaysia dan saya harap dapat menyumbang sesuatu kepada bola sepak Malaysia.
“Seperti baru-baru ini saya telah mengusulkan mengenai pengambilan pemain baru kepada lembaga pengarah dan mungkin akan membuat keputusan tentang hal ini kelak," ulas Silva dalam kenyataan MFL.
Kelantan United selepas ini akan bertemu dengan Sabah FC sekali gus menjadikan ianya sebagai tugas pertama buat Silva untuk memastikan anak buahnya beraksi dengan lebih baik dan cemerlang.
Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Isnin, 26 Jun 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram