Tekong import Thailand cuti ‘gari’ orang, kagum suasana STL bersama Perak Bison


  • Podium
  • Khamis, 08 Jun 2023

Jakkrit merupakan bekas ahli pasukan Amnatcharoen yang merupakan naib johan Liga Thailand musim lepas. — Facebook/PerakBison

WALAUPUN Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/2023 sudah memasuki minggu ketiga, tidak terlambat untuk mendengar kisah pemain import baharu pasukan Perak Bison yang diterbangkan dari Thailand.

Jakkrit Thinbangon yang akan beraksi sebagai tekong regu Yob itu merupakan antara tiga pemain baharu skuad Bison musim ini dan dijangka akan menjadi mimpi ngeri lawan.

Perkongsian dari pengurus pasukan, Syamsul Istar Ibrahim Istar, Jakkrit merupakan bekas ahli pasukan Amnatcharoen yang merupakan naib johan Liga Thailand musim lepas.

Apa yang menarik mengenai pemain Jakkrit, dia difahamkan merupakan seorang anggota polis di negara jiran itu dan mengambil cuti pelepasan untuk kejohanan STL musim ini.

Namun apa yang mengagumkan Syamsul Istar, walaupun Jakkrit masih baharu bersama Bison namun dia berhasil menyesuaikan diri dalam masa yang singkat.

“Untuk menyesuaikan diri Jakkrit tak ambil masa lama walau baru tiba dalam dua ke tiga hari sebelum perlawananan. Dia baru dapat pelepasan daripada majikan. Dari segi keserasaian bersama rakan sepasukan dah ada,” kongsi pengurus skuad Bison kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-06-07 at 19.49.49

Barisan pemain Perak Bison. — Facebook/PerakBison

Pengurus berusia 39 tahun itu juga mendedahkan bahawa Jakkrit memaklumkan kepadanya bahawa suasan STL berbeza dengan Liga Thailand dan timbul rasa kagum pemain tersebut apabila melihat penganjuran sukan sepak takraw di Malaysia.

Antara yang menarik perhatiannya ialah kualiti penyiaran dan sambutan dari penonton apabila turun pada menyokong pasukan kegemaran masing-masing.

“Dia (Jakkrit) maklumkan kejohanan STL berbeza dengan Thai League. Suasana dari segi penonton, presentation kejohanan dengan buat di stadium. Di Thailand tiada benda seperti itu.

“Di Thailand ada perlawanan seperti STL cuma kualiti penyiaran berbeza. Malaysia jauh lebih baik,” kongsinya.

Selain Jakkrit, Perak Bison turut mendapatkan Muhammad Noraizat dan Aidil Aiman sebagai pemain baharu musim ini dan mengekalkan empat pemain lama.

Setakat ini, Perak Bison masih belum berpuas hati menghuni kedudukan keempat meskipun sudah merekodkan tiga kemenangan dan dua kekalahan dalam lima perlawanan saingan STL Emas Annuar 2022/2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram