HARIMAU Malaya berada di tahap yang tinggi selepas menewaskan Papua New Guinea 10-0 dalam perlawanan persahabatan pada Selasa.
Dengan kemenangan dalam empat perlawanan persahabatan berturut-turut, Malaysia naik dua anak tangga dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) daripada 138 kepada 136.
Lebih baik lagi, persembahan meriah yang diadakan di Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Terengganu itu membuatkan penonton teruja untuk menonton lebih banyak lagi aksi skuad kebangsaan.
Namun begitu, jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon mengekalkan keterujaan dalam kalangan pemainnya di tahap rendah berikutan bimbang jangkaan peminat akan meningkat selepas kemenangan besar ini sehingga tidak akan dapat menerima kekalahan di kemudian hari.
Pengendali Korea Selatan itu mengingatkan penyokong untuk menerima hakikat bahawa pasukan tersebut masih boleh tewas dalam perlawanan selepas ini dan merayu sokongan mereka untuk membantu pemain bangkit apabila perkara tersebut berlaku.
“Itulah yang saya bimbang, peningkatan kami terlalu pantas dan kami menaikkan kedudukan terlalu pantas. Ya, itu satu rangsangan ketika kami membuat persiapan untuk Piala Asia tahun depan tetapi pada masa yang sama, ia mungkin bukan petanda yang baik kerana orang ramai akan menjangkakan terlalu tinggi.
"Suatu hari nanti, kita mungkin tenggelam, jadi semua ini ada hadnya.
"Tetapi saya masih mahu semua orang menikmati masa ini dan sentiasa bersatu. Jika kami kalah, kami mesti menangis bersama-sama. Saya mahukan persekitaran itu di Malaysia. Semua mesti bersatu, jadikan ia seperti sebuah keluarga," katanya.
Pan-gon berasa gembira melihat anak-anaknya berada dalam prestasi terbaik ketika menentang Papua New Guinea.
Harimau Malaya kini berada tangga keenam dalam ranking FIFA. — Facebook/FAM
"Saya ingin berterima kasih kepada pemain kerana memberikan permainan yang berkualiti. Mereka menggembirakan penonton. Anak-anak buah saya banyak berusaha. Kami jurulatih memberi tekanan kepada mereka tetapi mereka berjaya mengatasinya.
"Kami banyak meningkat. Permainan demi permainan, saya dapat lihat tiada rasa takut dan pemain lebih yakin.
"Jika pemain mempunyai terlalu banyak tekanan, ia akan menjadi sukar untuk beraksi. Seperti pada separuh masa kedua, di mana mereka menjaringkan sembilan gol, saya tidak boleh mengajar mereka itu. Ia datang secara semula jadi dari mereka.
‘’Mereka cuba memahami modul dan pendekatan taktikal kami, dan kami memberikan banyak maklumat. Mereka ini pandai. Saya bangga dengan mereka," kongsinya.
Tetapi Pan-gon mahu prestasi yang sama diulangi menentang pasukan yang lebih kuat, terutamanya dalam perlawanan antarabangsa akan datang menentang pasukan yang lebih tinggi.
"Kami mahu bermain menentang pasukan yang kuat. Ini adalah sasaran kami. Sebagai pasukan kebangsaan, kami mempunyai had.
"Kami hanya boleh bermain dua perlawanan pada bulan September dan dua lagi pada bulan Oktober dan pada bulan November, terdapat kelayakan Piala Dunia. Kami akan melakukan banyak eksperimen semasa peringkat ini.
“Kami mahu melihat bagaimana kami boleh menghampiri Piala Asia. Kalau kita lihat pembangunan jangka panjang, kita nak konsisten dengan bola sepak kita... sama ada pasukan besar atau kecil, kita nak serang dan teruskan bermain begini.
"Kami mempunyai tiga bulan lagi untuk menyaksikan perlawanan liga dan cuba mencari lebih ramai pemain berkualiti untuk pasukan kebangsaan," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram