Zainal Abidin Hassan belum cukup puas 4 aksi pemanas badan HM


  • Podium
  • Rabu, 21 Jun 2023

Faisal turut mencetak satu jaringan gol dalam aksi menentang Papua New Guinea pada Selasa. — Facebook/FAM

TIDUR lena, mimpi indah semua penyokong Harimau Malaya selepas menyaksikan skuad kebangsaan berpesta gol menumpaskan Papua New Guinea 10-0 dalam aksi antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Kuala Nerus, Terengganu pada Selasa.

Pada separuh masa pertama, skuad kebangsaan bermandi peluh melakukan percubaan demi percubaaan susulan kecemerlangan penjaga gol pasukan pelawat, Ronald Warisan berjaya menafikan sehinggalah sepakan penalti dari Safawi Rasid pada minit ke-45 memberi satu jaringan buat Harimau Malaya.

Pertukaran pemain pada babak kedua membawa impak besar dengan menyaksikan sembilan gol dicipta yang mana empat diledak tonggak sayap sensasi, Arif Aiman manakala penyerang naturalisasi, Paulo Josue mencipta hatrik.

Pemain Selangor FC, Faisal Halim dan pertahanan Sabah FC, Daniel Ting masing-masing menyumbang satu jaringan gol pada minit ke 59 dan 76.

Kejayaan mengatasi pasukan dari Oceania itu menjadikan ia adalah kemenangan keempat berturut-turut skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan selepas menewaskan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong (2-0) pada Mac lepas serta Kepulauan Solomon 4-1 baru-baru ini.

Rekod menang aksi persahabatan di tempat sendiri sebanyak empat kali itu bagaimanapun belum memuaskan hati legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan dan mengganggap ia belum mencapai standard Piala Asia.

pan gpm

Zainal Abidin berharap agar Pan-gon akan memperbaiki segala kelemahan pasukannya sebelum Piala Asia. — Facebook/FAM

“Bagi saya keempat-empat perlawanan ini masih belum mencapai satu standard pasukan yang betul-betul pasukan Piala Asia. Buat masa ini coach Kim (Kim Pan-gon) akan menyusun segala-galanya dan melihat di manakah mungkin benda yang perlu di baik pulih.

“Kita masih tertunggu-tunggu perlawanan tier 1 yang mencapai standard atau melebihi standard, supaya kita dapat lihat coach Kim dan pasukan bersedia atau tidak ke Piala Asia,” katanya memetik temu bual bersama Astro Arena.

Jika dilihat kembali kedudukan ketiga-tiga pasukan itu, Turkmenistan merupakan pasukan yang mempunyai ranking tertinggi iaitu berada pada kedudukan ke-135 dunia, diikuti Kepulauan Solomon (136), Hong Kong (147) dan Papua New Guinea ke-159.

Beradu kekuatan menentang pasukan lebih kuat adalah penting untuk melakukan aksi pemanas badan sebelum Piala Asia berikutan pasukan Korea Selatan, Bahrain dan Jordan bakal menjadi halangan Malaysia dalam saingan peringkat Kumpulan E di kejohanan tertinggia Asia itu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram