Lepas Allafi, import kacukan Portugal-Belanda dikaitkan ke Sri Pahang


  • Podium
  • Isnin, 12 Jun 2023

Luca Van Der Gaag (tiga dari kiri) dikhabarkan bakal dibawa masuk bagi memperkuatkan jentera pertahanan Skuad Tok Gajah. — Agensi

BERADA di tangga keempat carta Liga Super, prestasi Sri Pahang FC dilihat semakin konsisten jika dibandingkan dengan musim lalu, yang mana skuad Tok Gajah menghabiskan liga menghuni kedudukan ketujuh.

Jika melihat kepada rekod pasukan tersebut, skuad Tok Gajah mencatat lapan kemenangan setakat ini sekali gus membuktikan kehilangan pemain import, Manuel Hidalgo dan pemain naturalisasi Lee Tuck yang berpindah ke Kedah Darul Aman FC (KDAFC) tidak memberi kesan pada pasukan tersebut.

Tambahan pula, kelab Pantai Timur itu berada di landasan yang betul kekal memberi saingan kepada pasukan gergasi yang lain.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menegaskan beberapa kali bahawa mereka masih memerlukan rekrut baharu pada jendela perpindahan akan datang.

Sebelum ini, skuad Tok Gajah dikhabarkan akan membawa masuk pemain tengah antarabangsa Bahrain, Khalifa Issa Allafi.

Skuad Tok Gajah masih memerlukan kehadiran wajah-wajah baharu. — Facebook/Sri Pahang FC

Skuad Tok Gajah masih memerlukan kehadiran wajah-wajah baharu dalam jentera pertahanan. — Facebook/Sri Pahang FC

Walaupun ianya sekadar khabar angin, namun pemain berumur 22 tahun itu kuat diperkatakan akan menjadi calon yang sesuai memperkasakan skuad Tok Gajah pada jendela perpindahan kedua pemain bulan depan.

Terbaharu, seorang lagi pemain import dari Belanda, Luca Van Der Gaag dikhabarkan bakal dibawa masuk bagi memperkuatkan jentera pertahanan Skuad Tok Gajah.

Jika melihat kepada maklumat data di Transfermarkt, pemain berusia 21 tahun itu tidak mempunyai kontrak bersama mana-mana kelab sejak Januari lalu.

Pada masa sama, selepas 14 perlawanan, skuad kendalian Fandi Ahmad dilihat memerlukan pemain yang berkualiti di bahagian tengah.

Luca 2

Kehadiran Luca boleh menjadi tambahan kepada nadi tengah pasukan Sri Pahang dalam mengharungi baki saingan liga musim ini. — Agensi

Jika melihat kepada prestasi pemain berketinggian 1.90 meter itu, dia boleh menampung kekosongan di bahagian tengah skuad Tok Gajah yang sedikit tempang.

Ini berikutan salah seorang tonggaknya, Nor Azam Azih mengalami kecederaan dan sukar beraksi untuk sepenuh masa. Selain Nor Azam, kapten pasukan, Sergio Aguera juga ketika ini diketepikan selepas mengalami kecederaan di bahagian kaki.

Justeru, kehadiran Luca boleh menjadi tambahan kepada nadi tengah pasukan Sri Pahang dalam mengharungi baki saingan liga musim ini.

Dengan usianya yang muda juga, ia boleh menyuntik energi kepada pasukan agar bahagian tengah skuad Tok Gajah 'hidup' untuk membantu jentera serangan dan pertahanan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram