Raphael Leai bocorkan gawang Harimau Malaya, tiga kelab patut cuba sambar permata Solomon


  • Podium
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Arif Aiman (kiri) merupakan antara penjaring dalam aksi menentang Kepulauan Solomon. — Facebook/FAM

AKSI perlawanan yang dipamerkan skuad kebangsaan dalam pertembungan persahabatan Tier 1 memastikan mereka menang dengan keputusan selesa 4-1 ke atas Kepulauan Solomon pada Rabu.

Perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, skuad negara ketinggalan apabila pasukan pelawat menjaringkan gol menerusi Raphael Leai.

Namun, serangan demi serangan daripada anak-anak buah Kim Pan-gon akhirnya membuahkan hasil selepas meraih kemenangan menerusi gol daripada Paulo Josue, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan Lee Tuck.

Kejayaan itu pastinya memberikan perangsang buat skuad kebangsaan menjelang aksi Piala Asia 2023 yang bakal diadakan di Qatar pada awal tahun depan.

Namun begitu, di sebalik kemenangan pasukan Harimau Malaya itu ada sesuatu yang mencuri perhatian penyokong melibatkan pasukan lawan.

Kehebatan penyerang pasukan lawan Raphael Leai yang meledakkan gol seawal minit ke-11 semestinya menjadi tamparan buat penjaga gol skuad kebangsaan, Syihan Hazmi.

Sehubungan itu, pemain Solomon berusia 19 tahun itu menjadi bualan penyokong memandangkan dia mempunyai deria penyudah yang baik di hadapan pintu gawang.

Melihat kepada usia dan persembahan secara keseluruhan, pemain berketinggian 1.60 meter itu dikatakan sesuai untuk mewarnai arena bola sepak tempatan.

Dia yang kini beraksi di Liga Perdana Bosnia bersama pasukan FK Velez Mostar difahamkan mempunyai kontrak sehingga Jun 2024.

Namun, sekiranya terdapat mana-mana kelab yang serius untuk mendapatkan khidmatnya, pembayaran penebusan kontrak pastinya tidak menjadi masalah.

Berdasarkan pemerhatian dalam kalangan kelab-kelab Liga Super ketika ini, terdapat tiga kelab yang sesuai untuk menyambar Raphael Leai bagi menguatkan jentera serangan masing-masing.

1.Perak FC

2116850

Prestasi Perak FC kian meresahkan penyokong susulan kekalahan demi kekalahan dialami pada perlawanan musim ini. — Facebook/PerakFC

Skuad Sang Seladang memerlukan nafas baharu khususnya di bahagian serangan bagi memastikan pasukan tersebut mampu terus bersaing dalam kancah liga untuk musim ini.

Ini kerana dibarisi pemain muda mungkin merupakan satu kelemahan yang perlu diperbaiki skuad The Bos Gaurus (TBG) dan disebabkan itu ramai pihak mencadangkan agar pengendali Perak, Yusri Che lah untuk merombak semula pemain yang sedia ada.

Sehubungan itu, penyelesaian jangka masa pendek adalah dengan penukaran pemain import ataupun membeli pemain import yang baharu yang mempunyai pengalaman untuk menguatkan lagi pasukan sedia ada.

Tambahan pula, kehadiran Raphael ini boleh dirasakan calon yang sesuai untuk menguatkan lagi pasukan tersebut.

Pada masa sama, dia juga dikenali sebagai seorang yang lincah ketika berada di atas padang, sekali gus mampu mengucar-ngacirkan permainan pihak lawan.

2. Kedah Darul Aman FC

Menang Kasut Emas

Raphael pernah memenangi Kasut Emas dan Bola Emas di Kejohanan OFC U16. — Agensi

Pasukan Sang Kenari berada dalam kelompok teratas yang mana Kedah kini menghuni kedudukan ketiga namun, ia masih tidak cukup memuaskan memandangkan perjalanan liga musim ini masih panjang.

Namun, pasukan itu masih dilihat tidak konsisten terutamanya di bahagian serangan. Pada masa sama, penyokong berasakan perlu ada seorang lagi pemain yang boleh menggantikan pemain sayap, Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin pada ketika ini.

Hal ini kerana Fayadh dilihat tidak menunjukkan prestasi yang baik ketika bermain di atas padang.

Sehubungan itu, sekiranya Raphael dibawa masuk sudah pasti ia akan memberikan pembaharuan dalam jentera serangan skuad kendalian Nafuzi Zain.

Untuk rekod, kehebatan pemain ini tidak boleh dipandang sebelah kerana Raphael pernah memenangi Kasut Emas dan Bola Emas di Kejohanan OFC U16.

Bagaimanapun, melihat kepada lambakan pemain import yang dimiliki, adakah kelab Utara tanah air itu akan membawa masuk seorang lagi wajah baharu sehingga terpaksa mengambil risiko terhadap struktur kewangan mereka.

3. Kelantan FC

2110574

Kelantan FC kehilangan pemain import terbaik mereka, Miguel Angel Garrido Cifuentes yang berpindah ke Sabah FC. — Facebook/The RedWarrior

Selepas kecundang dalam beberapa siri perlawanan aksi Liga Super, Kelantan FC sememangnya memerlukan nafas baharu dalam pasukan mereka.

Selain itu, pasukan yang baru menyertai divisyen teratas bola sepak tempatan pada musim ini juga dilihat hanya mampu menduduki tangga tercorot carta Liga Super.

Tambahan pula, pasukan kendalian Frank Berndhart baru sahaja kehilangan pemain import terbaik mereka, Miguel Angel Garrido Cifuentes yang berpindah ke Sabah FC.

Pasukan itu juga dilihat memerlukan tonik baharu bagi menguatkan jentera serangan mereka, sekali gus memperbaiki kedudukan mereka dalam carta Liga Super.

Sehubungan itu, harapan utama penyokong agar pihak pengurusan kelab merombak semula barisan pemainnya menjelang jendela perpindahan kedua supaya mampu bersaing dengan pasukan lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram