Negeri Sembilan FC sedia adakan rundingan pelaburan, teroka kerjasama baharu


  • Podium
  • Selasa, 20 Jun 2023

Skuad Jang kini menduduki tangga kesembilan Liga Super selepas hanya membawa pulang 18 mata. — Facebook/Negeri Sembilan FC

PASUKAN Liga Super, Negeri Sembilan FC mengumumkan bahawa kelab itu bersedia untuk menjalinkan kerjasama bersama pihak yang berminat untuk mengukuhkan kestabilan di luar padang.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, skuad Jang sedang dalam usaha untuk meneroka sebarang rundingan, termasuk dari segi jual beli saham.

“Kekuatan NSFC (Negeri Sembilan FC) adalah sokongan para peminat dan sejarah bola sepaknya yang kini mencecah 100 tahun.

"Justeru itu, sebarang keputusan mengenai rundingan kerjasama dan pelaburan akan menitikberatkan kepentingan pasukan, peminat, pelabur, dan rakyat Negeri Sembilan,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Ahli Lembaga Pengarah NSFC.

Ketika ini, pasukan berkenaan difahamkan berada di bawah pemilikan kerajaan negeri, namun terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi berbanding musim lalu.

Ini berikutan peraturan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang meletakkan syarat bahawa mana-mana pasukan yang mahu beraksi secara profesional perlu mempunyai wakil dalam Liga Super, Piala MFL dan Piala Presiden.

Skuad Jang ketika ini berada di tangga kesembilan selepas 14 perlawanan hasil daripada 18 mata yang dikutip dengan hanya empat kemenangan direkodkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram