Rekod lampau beri kelebihan buat HM atasi Papua New Guinea tapi kejutan Piala Dunia boleh berulang


  • Podium
  • Isnin, 19 Jun 2023

Barisan pemain skuad Harimau Malaya terus giat menjalani latihan di SSMZA, Gong Badak. — Facebook/FAM

MALAYSIA mempunyai misi melebarkan rekod kemenangan apabila melayan kunjungan pasukan di ranking lebih rendah, Papua New Guinea pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus, Terengganu pada Isnin.

Sekiranya berjaya mengatasi pasukan ke-159 dunia itu, ia bakal menjadi kemenangan keempat berturut-turut skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan selepas menewaskan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong (2-0) pada Mac lepas serta Kepulauan Solomon 4-1 baru-baru ini.

Berdasarkan rekod menentang Papua New Guinea, kelebihan berpihak kepada Malaysia yang memenangi tiga daripada keseluruhan empat perlawanan dengan pertemuan terakhir pada 2016 menyaksikan pasukan negara menang 2-1, kira-kira lima bulan selepas tewas 0-2 kepada lawan sama.

Namun, umum mengetahui Malaysia sudah melangkah ke hadapan untuk berada pada satu tahap lebih baik dari segenap aspek termasuk dalam kedudukan ranking dunia sejak bangkit daripada prestasi muram pada 2017.

Keputusan 2-2 dicatat Papua New Guinea ketika bertandang ke Singapura pada perlawanan persahabatan Jumaat lepas, tidak seharusnya membimbangkan Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon.

Ini kerana anak buah jurulatih dari Korea Selatan itu berjaya menewaskan Singapura 4-1 tanpa beberapa pemain utama pada aksi kumpulan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022, Januari lepas.

WhatsApp Image 2023-06-19 at 15.30.47

Pan-gon pastinya sudah menyediakan ramuan tersendiri untuk menewaskan Papua New Guinea. — Facebook/FAM

Apatah lagi dengan momentum yang dibina selepas membenam Kepulauan Solomon 4-1, Pan-gon semakin ghairah memburu kemenangan lebih besar.

Keghairahan beliau dibuktikan apabila kemenangan itu belum cukup baik buatnya selepas mengharapkan lebih banyak gol dijaringkan dan memberi amaran kepada pemain supaya meminimumkan kesilapan teknikal dalam pertembungan pada Selasa.

Situasi itu menjadikan barisan pemain lebih bersedia sekali gus memberi peluang kepada mereka yang diturunkan untuk mempamerkan prestasi terbaik dalam usaha masing-masing memenangi hati Pan-gon bagi merebut tempat dalam skuad ke Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Malaysia ketika ini berada di posisi ke-138 dalam ranking dunia dan dijangka memperbaiki kedudukan terutama selepas mengatasi Kepulauan Solomon yang merupakan pasukan di tempat lebih tinggi iaitu ke-134.

Bagaimanapun, apa sahaja boleh terjadi dalam bola sepak seperti kejutan dicipta Arab Saudi ketika menumbangkan juara dunia Argentina yang dibarisi pemain bintang antaranya Lionel Messi pada aksi kumpulan Piala Dunia 2022.

Kekalahan Argentina itu seharusnya menjadi pengajaran berguna kepada setiap pemain negara supaya tidak memandang rendah kemampuan Papua New Guinea meskipun pasukan dari Oceania itu mempunyai persiapan kurang ideal berbanding skuad kebangsaan.

Menjelang pertembungan pada Selasa, Papua New Guinea pastinya mengintai untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan seri selepas menikmati prestasi memberangsangkan sejak akhir-akhir ini.

Pasukan yang diberi julukan ‘Kapuls’ sebelum ini mencatat dua kemenangan dan dua seri sejak kali terakhir tewas pada November tahun lepas.

Secara keseluruhan, Malaysia dijangka tidak berdepan masalah melebarkan rekod kemenangan berdepan Papua New Guinea sekiranya barisan pemain dapat menterjemahkan taktikal dengan baik dan mengurangkan kesilapan individu yang boleh menghukum pasukan.

Aksi pada Selasa itu juga merupakan peluang kepada pemain menerapkan dan membiasakan diri dengan corak permainan berintensiti tinggi yang dituntut Pan-gon sebelum bakal berdepan pasukan lebih hebat pada masa depan. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram