Jadi sandaran pengganti Lira, 3 risiko Ifedayo akan 'flop' jika sah sertai Sang Kenari


  • Podium
  • Ahad, 18 Jun 2023

Ifedayo dikhabarkan bakal menyarung jersi Sang Kenari pada jendela perpindahan kedua Liga Super.

KEPUTUSAN penyerang import Brazil, Willian Lira untuk meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC mencetuskan 1,001 tanda tanya dalam kalangan peminat tegar bola sepak tanah air.

Selepas diberikan tekanan serta kritikan atas prestasi kurang memberangsangkan pada awal musim, pemain itu akhirnya mendapatkan tempat dalam hati penyokong Hijau Kuning beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Ini membolehkannya meraih lapan gol daripada hanya 14 penampilan, sekali gus membantu skuad Sang Kenari berada di tangga ketiga Liga Super selepas 14 perlawanan.

Jadi, persoalan yang pasti timbul mengenai hal itu adalah berkenaan pengganti penyerang berusia 29 tahun itu menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super pada Julai ini.

2128599

Willian Lira sah meninggalkan skuad Sang Kenari pada Jumaat. Facebook/KDA FC

Antara nama-nama yang disebut ialah pemain KDA FC B, Ebenezer Assifuah yang mula mendapatkan rentak dengan memacu jentera serangan pasukan itu dalam saingan Piala MFL.

Namun, baru-baru ini, nama seorang lagi calon mula timbul dengan ramai pihak tidak berputus asa untuk cuba menjawab persoalan tanpa titik noktah itu.

Bekas peledak Selangor FC, Ifedayo Olusegun dikatakan semakin hampir untuk mengetuai jentera serangan KDA FC untuk baki musim Liga Super 2023.

Dia yang kali terakhir beraksi buat Melaka United difahamkan kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan meskipun timbul khabar angin sejak penghujung musim lalu.

Kehadiran pemenang Anugerah Kasut Emas sebanyak dua kali itu semestinya akan menyuntik satu perubahan besar buat kelab Utara tanah air itu dengan menggantikan Willian Lira.

Namun, di sebalik keghairahan untuk menerima pemain berpengalaman itu, terdapat beberapa risiko besar yang perlu dinilai sebelum meraikan kedatangannya.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga sebab utama bahawa Ifedayo akan bergelut untuk menerajui jentera serangan Sang Kenari, sekali gus meletakkan label 'flop' ke atas namanya.

1. Usia dan kecergasan

Selepas menggegarkan arena bola sepak tempatan pada 2017 ketika menyertai Felda United, pemain antarabangsa Bahrain itu terus menjadi bahan bualan ramai.

Kelincahan, kelajuan serta kelebihan dari segi fizikal menjadikannya satu mimpi ngeri buat pertahanan lawan untuk menyekat gerakannya.

Persembahan menakjubkannya itu terus menjadi bahan bualan penyokong bola sepak tempatan apabila dia berkelana dengan beberapa pasukan Liga Super, termasuk Melaka United dan Selangor FC.

WhatsApp Image 2023-06-17 at 23.38.17

Kali terakhir Ifedayo beraksi sebagai pemain profesional adalah ketika bersama Melaka United.

Bagaimanapun, tempoh terbaiknya semestinya sepanjang berada bersama skuad Gergasi Merah memandangkan Ifedayo mudah menjaringkan gol daripada pelbagai sudut dan situasi.

Namun, ketika bersama skuad Hang Tuah pada 2022, pemain kelahiran Nigeria itu gagal untuk mengembalikan prestasi terbaik seperti direkodkan selama beberapa musim dalam Liga Malaysia.

Meskipun ada yang mengatakan kemerosotan itu berpunca daripada isu dalaman Melaka United, ada yang berpendapat perkara itu berlaku berikutan usianya yang semakin lanjut.

Kini, Ifedayo sudah berusia 32 tahun yang mana semestinya akan memberikan kesan negatif terhadap gaya permainannya secara keseluruhan.

Tambahan pula, dengan dia tidak bermain secara profesional sejak penghujung musim lalu, ia semestinya akan menjejaskan staminanya secara keseluruhan.

2. Harapan tinggi penyokong Sang Kenari

Awal musim lalu, laman media sosial KDA FC menyaksikan kritikan bertubi-tubi diajukan penyokong kelab itu terhadap Willian Lira.

Perkara tersebut dilihat memainkan peranan terhadap persembahan tidak konsisten daripada penyerang berusia 29 tahun itu apabila dia terus diberikan tekanan.

Tidak cukup dengan itu, jurulatih legenda, Azraai Khor Abdullah juga berkali-kali mempersoalkan kualiti pemain tersebut yang mana pastinya menjatuhkan keyakinan Lira di atas padang.

Namun, kesungguhannya untuk membuktikan kebolehannya dijadikan azam untuknya terus beraksi cukup baik agar dia boleh membantu KDA FC berada di kedudukan lebih baik.

Cita-cita tersebut akhirnya berjaya direalisasikan apabila namanya terus disorak-sorak penyokong Sang Kenari yang tidak boleh menerima pemergiannya.

Jadi, melihat kepada situasi itu, terdapat kemungkinan Ifedayo juga akan berdepan nasib sama dengan hanya pengalaman dan keazaman mampu menghilangkan perkara itu.

Ketika bersama Selangor FC, keadaan tersebut tidak terlalu menghantui dirinya memandangkan dia tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kebolehannya.

Tetapi, dengan dia hanya akan menyertai KDA FC pada pertengahan musim, terdapat kemungkinan besar bahawa tekanan akan terus diberikan terhadapnya.

3. Gaya permainan berbeza

Sepanjang mewarnai arena bola sepak tempatan, Ifedayo cukup dikenali dengan kebolehan untuk melakukan larian deras bagi meninggalkan benteng pertahanan lawan.

Tidak cukup dengan itu, penyerang berketinggian 1.8 meter itu mempunyai kaki kanan yang cukup berkualiti untuk melakukan percubaan daripada luar kotak.

Ciri-ciri tersebut merupakan antara punca utama pemain tersebut mampu menjaringkan 70 gol dalam Liga Super yang meletakkannya di tangga kelima penjaring sepanjang masa bola sepak tanah air.

2091815

Willian Lira mempunyai gaya permainan tersendiri sepanjang bersama KDA FC. Facebook/KDA FC

Namun, meskipun ciri-ciri itu merupakan satu penambahan yang berkualiti, ia dikhuatiri akan menyebabkan kekacauan terhadap taktikal ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain.

Sekiranya diperhatikan gol-gol yang dijaringkan Willian Lira musim ini, dia lebih kerap menggegarkan gawang lawan dengan kebijaksanaan untuk menempatkan dirinya pada lokasi dan masa yang tepat.

Tambahan pula, penyerang kelahiran Brazil tersebut jarang melakukan percubaan daripada luar kotak penalti dan lebih gemar menghidangkannya buat rakan sepasukan.

Jadi, sekiranya Ifedayo merupakan pilihan utama skuad Sang Kenari, terdapat risiko bahawa perubahan radikal perlu dibuat untuk separuh kedua musim Liga Super.

Bagaimanapun, dengan Nafuzi cukup terkenal untuk melakukan perubahan terhadap pemainnya, terdapat kemungkinan Ifedayo tidak akan mempunyai masalah menyesuaikan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram