[VIDEO] Penduduk kampung Guar Chempedak gempar temui anak penjual ikan lemas dalam sungai baru korek


  • Tular
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Mangsa diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada di sekitar kawasan itu. — Facebook/Shahril Izwan

SEORANG remaja berusia 15 tahun ditemui lemas selepas mandi bersama rakan-rakannya di sungai di Kampung Batu 20 Guar Chempedak, Yan, Kedah pada Jumaat.

Difahamkan, mangsa yang merupakan anak kepada seorang peniaga ikan telah diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada di sekitar kawasan itu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook Penduduk Guar Chempedak pada petang Jumaat.

Berdasarkan video tersebut, kedengaran seorang penduduk kampung melaungkan azan dipercayai untuk mempermudah urusan mencari remaja berkenaan.

Mangsa dan rakan-rakannya dipercayai mandi di sungai yang baru sahaja dikorek bagi tujuan memperbesar sungai sedia ada.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut berdukacita atas kehilangan remaja tersebut.

Dalam masa sama, ada juga mendakwa, keadaan sungai yang agak rapat dengan jalan boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk kampung.

Penduduk kampung mendakwa sungai tersebut agak rapat dengan jalan dan boleh membahayakan penduduk kampung. — Facebook/Shahril Izwan

“Memang dalam sungai yang baru korek tu (anggaran) tujuh kaki (2.1 meter), projek itu (dijalankan pada) awal tahun ini.

“Bahaya sungguh (sungai itu), dengan tak ada pagarnya, kalau bawa motor terlajak dalam sungai tu naya,” tulis Syed Omar BenYahya.

“Al-Fatihah, saya kerja situ. Saya duk halang jangan mandi sebab kami baru korek,” kata Kamarul Add.

“Allahuakbar Al-Fatihah, baru tengok budak-budak dok mandi kat sungai baru buat tu. Minta ibu bapa pantau anak-anak lepas ni,” kata Mira Jun.

Setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram