SKUAD bawah 17 tahun (B-17) negara membuka saingan Piala Asia B-17 dengan langkah kiri apabila tewas 0-4 di tangan Yemen di Stadium Thammasat, Bangkok, Thailand pada Khamis.
Kualiti tinggi dimiliki pemain Yemen jelas kelihatan apabila mereka lebih menguasai permainan dan melakukan banyak percubaan berbahaya ke pintu gol Harimau Muda yang dikawal Afiq Danish.
Anak buah Osmera Omaro hanya mampu bertahan selama 21 minit apabila pasukan Yemen memperoleh gol pendahuluan menerusi Abdulrahman Al-Khader dan jaringan kedua pula dicetak Adel Abbas pada minit ke-31.
Pada penghujung babak pertama, Malaysia berpeluang untuk mendapat peluang jaringan menerusi keadaan set-piece namun mereka gagal menterjemahkan pleuang dalam bentuk gol.
Bersama babak kedua, Yemen dihadiahkan sepakan penalti dan Anwar Hussein berhasil menyempurkannya dan seterusnya menambah akaun jaringan pasukan tersebut.
Episod malang skuad bimbingan terus bersambung apabila Adib Ibrahim menghadiahkan gol buat pasukan lawan pada minit ke-88 dan secara tidak langsung mengesahkan kemenangan Yemen.
Susulan kekalahan aksi pembuka Kumpulan A Piala Asia B-17 itu, penyokong skuad kebangsaan melontarkan pendapat peribadi mereka dengan meletakkan kegagalan pertama tersebut di bahu Osmera.
Osmera dianggap tidak sesuai mengemudi B-17.
Justeru, majoriti penyokong memetik nama bekas pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim untuk membimbing pasukan Harimau Muda susulan pengalamannya pernah memimpin akar umbi bola sepak negara.
“Bagus kalau bawah umur ini bagi LTK (Lim Teong Kim) sahaja. Dia layak,” komen penyokong, Mohd Fauzi.
“Masalahnya pada jurulatih sebenarnya. Agak berterabur main, dah macam tahap liga sekolah,” tambah penyokong, Mohd Izzat Faez.
Teong Kim merupakan bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan mempunyai pengalaman 12 tahun melatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Bundesliga, Bayern Munich.
Pada Mei lalu, Teong Kim digugurkan daripada jawatan sebagai pengendali Perak susulan prestasi mengecewakan skuad TBG dan digantikan oleh Yusri Che Lah.
Selepas ini, skuad B-17 negara akan menentang tuan rumah, Thailand, Ahad ini sebelum menutup saingan kumpulan bertemu Laos, tiga hari kemudian.
Empat pasukan yang layak ke pentas separuh akhir akan meraih slot automatik ke Piala Dunia B-17 di Sepanyol, November depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram