NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
DUA minggu sudah berlalu sejak Selangor FC dikejutkan oleh kekalahan 0-1 di tangan PDRM FC dalam saingan liga. Walaupun berselang satu kemenangan lain kemudian, ia seakan-akan payah lekang daripada kotak minda Tan Cheng Hoe.
Di sebalik ketua jurulatih Gergasi Merah itu sebelum ini menyatakan kecundangnya mereka kepada The Cops itu pahit tapi “satu kekalahan tidak akan sebabkan panik”, ia terbukti meninggalkan luka yang lebih dalam di hatinya.
Mengakui terkejut dan kecewa, bahana reputasi pasukan yang tercalar dan tiga mata yang kehilangan, ia terukir sebagai apa yang dianggapnya satu titik hitam sepanjang pusingan pertama liga yang jika tidak kerana itu, dianggapnya agak memuaskan.
Dan seakan-akan ia terpanggil untuk memenuhi nalurinya, undian Piala Malaysia pada Khamis menetapkan Selangor FC dan PDRM FC akan bersemuka kembali dalam pusingan 16 secara timbal balik pada Ogos nanti.
Gergasi Merah akan menentang PDRM FC bagi aksi pertama Piala Malaysia. — Facebook/MFL
“Kekalahan kepada PDRM FC, selepas Selangor mengharungi rentetan tiga kemenangan berturut- turut (mengalahkan Perak FC 4-0, Kedah FC 3-2 dan Negeri Sembilan FC 3-1), merencatkan rentak kami ketika itu.
“Mujurlah kami menang besar 7-1 ke atas Kelantan United selepas itu untuk mententeramkan semula pemain-pemain. Harap-harap kalah kepada PDRM itu cuma satu hari yang tak menjadi buat kami dan tidak memberi kesan yang terlalu lama,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.
Barangkali pengajaran daripada kekalahan itu juga membuat Cheng Hoe enggan mencongak percaturan terlalu jauh ke hadapan, sebaliknya merangka persiapan untuk menghadapi satu demi satu perlawanan berdasarkan pilihan kesebelasan terbaik yang ada di tangannya pada satu-satu masa.
Saingan Piala Malaysia – Selangor FC dikalahkan Johor Darul Takzim (JDT) 2-1 dalam final musim lalu – masih terkemudian dalam senarai keutamaannya kerana apa yang lebih menjadi fokusnya ketika ini ialah pusingan kedua liga yang akan bersambung pada 3 Julai.
Dalam pada kebanyakan pasukan lain berlumba-lumba untuk melakukan penambahbaikan menerusi jendela perpindahan kedua yang akan dibuka pada 5 Julai, Cheng Hoe memilih untuk bersikap tenang dan enggan tergesa-gesa.
Selangor tewas di tangan JDT 2-1 dalam final Piala Malaysia musim lalu. — Bernama
Andai pihak pengurusan Selangor FC berpendirian untuk tidak membawa masuk pemain baru sekalipun, jurulatih berusia 55 tahun itu tidak akan menganggapnya sebagai satu cacat-cela kerana berasa selesa dengan pemain-pemain yang dimilikinya.
Kebetulan, sepanjang tempoh rehat liga untuk kalendar perlawanan antarabangsa ketika ini, dia merelakan pelepasan 10 pemain di bawah jagaannya – Faisal Abdul Halim, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Syahir Bashah kepada Harimau Malaya, Yazan Al-Arab, Noor Al-Rawabdeh (Jordan) dan Hein Htet Aung (Myanmar) selain empat pemain skuad B-23 negara.
Sambil Harimau Malaya berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea, Jordan pula menghadapi Serbia dan Jamaica dalam kedua-dua aksi yang berlangsung di Austria manakala Myanmar menentang China dan Macau.
“Saya sentiasa terbuka dengan pendirian pihak pengurusan sama ada kami perlu tambahan pemain baru atau tidak. Malah, saya boleh terima jika keudahannya diputuskan kami tidak akan mendapat rekrut baru pun.
“Pada saya, keharmonian dalam pasukan ketika ini yang lebih penting. Membawa masuk pemain baru di pertengahan liga boleh mengganggu keharmonian dan itu yang saya gusarkan kecuali kami benar-benar terdesak atas keperluan pasukan,” tambahnya.
Faisal, Mukhairi dan Syahir bertugas untuk Harimau Malaya bagi aksi persahabatan. — Facebook/GergasiMerah
Lagipun, padanya, Selangor FC memiliki kedalaman daripada segi sumber pemain dengan menyerapkan bakat muda daripada pasukan kedua yang bersaing dalam Piala MFL – satu langkah penting dalam kemajuan jangka panjang. Cheng Hoe juga melihat bakal kembalinya kapten, Brendan Gan, yang beransur pulih daripada kecederaan pergelangan kaki hampir sebulan lalu di samping Alex Agyarkwa yang tersisih daripada sebarang aksi selepas menentang Perak FC pada 20 Mei, akan menstabilkan pasukan.
“Selangor FC berada di kedudukan baik (kedua) dalam carta. Apa yang saya harapkan ialah kami dapat mengukuhkan bentuk pasukan dan terus menunjukkan peningkatan apabila pusingan kedua bersambung.
“Daripada analisis prestasi sepanjang pusingan pertama liga, saya harus kata ia agak menggembirakan (kalah hanya kepada JDT dan Sabah FC selain di tangan PDRM FC) dan tentunya kami punya ruang untuk terus meningkat.
“Selain terus dengan permainan konsisten, seboleh-bolehnya kami juga ingin menyerlahkan nilai hiburan dengan corak permainan menarik untuk kepuasan penyokong,” katanya.
Pada masa yang sama, ketua jurulatih itu sentiasa mengingatkan pemain-pemainnya terhadap jurang mata yang semakin mengecil dengan pasukan-pasukan yang menghambat mereka – terutama Kedah FC dan Sri Pahang FC yang kedua-duanya ketika ini cuma berjarak tiga mata.
Kedudukan terkini Liga Super. — MFL
“Saya suka ingatkan pemain supaya menentukan nasib pasukan di dalam tangan mereka sendiri daripada bergantung kepada pasukan pesaing agar kalah,” katanya merujuk kepada Selangor FC yang bertuah mengekalkan tangga kedua selepas kalah kepada PDRM FC hanya kerana Sri Pahang FC tewas kepada Kuala Lumpur City FC pada minggu yang sama.
Namun, sebelum mereka berkira-kira mencongak kunjungan Kuching City FC ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 3 Julai, Selangor FC harus lebih dahulu membuat perhitungan dengan JDT dalam separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor dalam tempoh 10 hari lagi.
“Kami akan menanti kepulangan pemain-pemain daripada tugas bersama pasukan kebangsaan masing-masing pada 22 atau 23 Jun untuk mendapat skuad penuh bagi melakukan persiapan rapi.
“Kami masih ada masa untuk memikirkan perlawanan menentang JDT,” kata Cheng Hoe lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram