'Terima kasih Willian Lira'


  • Podium
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Kehadiran Willian Lira pada awalnya mencetuskan beberapa kritikan daripada penyokong Hijau Kuning. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengumumkan penyerang kelahiran Brazil, Willian Lira tidak akan lagi bersama kelab itu selepas satu perbincangan mendalam dibuat antara kedua-dua pihak.

Perkara itu disampaikan menerusi satu hantaran di laman media sosial rasmi kelab pada Jumaat dengan mengatakan keputusan tersebut dibuat pemain berkenaan.

"KDA FC bersetuju untuk melepaskan Willian Lira dengan rasa berat hati namun menghormati keputusan beliau untuk membawa haluan berbeza dalam tempoh pertengahan Liga Super ketika nisbah jaringan beliau cukup baik dalam setiap perlawanan," tulis kelab itu.

354434090_297680609279790_636449178177416719_n

Masa depan Willian Lira masih belum dikenal pasti setakat ini. Facebook/KDA FC

Penyerang berusia 29 tahun itu sebelum ini tiba dengan reputasi cukup baik, tetapi sukar mendapat rentak sehingga diberi kritikan bertali-arus daripada penyokong Hijau Kuning.

Namun, sejak kebelakangan ini, Lira sudah mula mendapatkan rentak dalam arena bola sepak tempatan dengan menjaringkan gol-gol penting buat Sang Kenari.

Setakat separuh musim kedua Liga Super, pemain berkenaan sudah menjaringkan lapan gol dalam 14 penampilan, sekali gus membantu KDA FC menduduki tangga ketiga.

"Walaupun penampilannya di awal musim menerima pelbagai reaksi kurang senang, namun pemain berasal dari Brazil ini bangkit membuktikan ketajaman dengan membantu Sang Kenari mencipta kemenangan.

"Kemana sahaja anda selepas ini, ingatlah anda selamanya Sang Kenari! Terima kasih Willain Lira Sousa!" kata kenyataan itu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram