[VIDEO] Pernah patah buku lali, Kedah perlu fikir 2 kali sebelum dapatkan bek tengah Filipina


  • Podium
  • Khamis, 15 Jun 2023

Nyholm pernah mengalami kecederaan serius ketika beraksi dalam Liga Sweden. — Agensi

SELEPAS dibolosi sebanyak 19 kali dalam kancah Liga Super, perubahan pastinya perlu dilakukan pihak pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Meskipun mereka kini berada di tangga ketiga, penambahbaikan pastinya menjadi agenda utama memasuki jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Perubahan itu perlu dilakukan memandangkan saingan bola sepak tempatan akan menjadi lebih mencabar dengan jadual akan menjadi lebih padat memasuki separuh kedua musim.

Melihat kepada situasi semasa, KDA FC masih mencari rentak terbaik, termasuk dari segi pertahanan walaupun kebolehan dari segi individu sudah cukup baik.

Kehadiran bek tengah kelahiran Serbia, Bojan Ciger menambah baik prestasi pasukan berbanding pada 2022 yang lebih mudah dibolosi pihak lawan.

2091468

Kehadiran Bojan banyak mengubah situasi benteng pertahanan Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Selain itu, peningkatan mendadak dalam persembahan Rodney Calvin juga menguatkan lagi benteng pertahanan, namun masih terdapat ruang untuk diperbaiki.

Bagi sesetengah penyokong, antara nama yang sesuai untuk dibawa masuk ialah bek tengah berdarah kacukan Filipina-Sweden, Jesper Nyholm.

Perkara itu berikutan satu hantaran di Instagram Palatao Bola yang berpendapat kelab Utara tanah air terbabit merupakan destinasi terbaik buatnya.

Berdasarkan informasi yang diperoleh di laman sesawang transfermarkt, pertahanan berusia 29 tahun itu tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas kontraknya ditamatkan dengan pasukan Thailand, Muangthong United.

Peluang tersebut dilihat cukup baik buat KDA FC memandangkan mereka tidak perlu mengeluarkan sejumlah wang yang besar jika mahu mendapatkan Nyholm.

Tidak cukup dengan itu, pemain tersebut juga sudah membuktikan kebolehannya untuk beraksi di rantau Asia Tenggara selepas merekodkan 22 penampilan dalam Liga 1 Thailand musim lalu.

Namun, rekod kecederaan yang pernah dialami bek tengah berketinggian 1.83 meter itu semestinya perlu diberikan perhatian oleh pihak kejurulatihan Sang Kenari.

Ketika Nyholm beraksi bersama kelab gergasi bola sepak Sweden, AIK, dia pernah mengalami kecederaan mengerikan apabila pergelangan kakinya patah dalam aksi Piala Sweden menentang Orebro SK.

Dalam pertembungan yang berlaku pada 2018 itu, pemain berkenaan bertembung dengan pemain kelahiran Nigeria, Michael Omoh sehingga memaksanya disisihkan.

Berdasarkan laporan, kecederaan tersebut menyebabkan Nyholm tidak dapat beraksi bersama mana-mana kelab selama dua tahun dengan ada yang berpendapat ia merupakan momen yang mengancam kariernya.

Bagaimanapun, dengan sudah kira-kira lima tahun sejak insiden itu berlaku, pemain berkenaan sudah kembali ke tahap terbaik seperti mana dipamerkan bersama Muangthong United.

Tetapi, kecederaan itu pastinya memberi tamparan buat gaya permainannya yang mana dia terpaksa memperlahankan asakan sepanjang berada di atas padang untuk mengurangkan risiko.

Di samping itu, dia turut dilaporkan masih belum mendapatkan kecergasan sepenuhnya apabila cedera dalam aksi terakhir bersama kelabnya ketika berdepan Chiangrai United.

Sepanjang kariernya, Nyholm sudah beberapa mewakili beberapa kelab dan mewakili skuad kebangsaan Filipina sebanyak tiga kali sejak 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram