'KBS bukan bagi free', Exco Pahang perjelas faktor tolak rumput Zeon Zoysia di Darul Makmur


  • Podium
  • Selasa, 13 Jun 2023

Pahang antara negeri yang mempunyai pendirian sendiri apabila tidak bersetuju untuk menerima idea daripada KBS. — Facebook/TokGajah

SELEPAS lima bulan menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua Exco Belia dan Sukan negeri bagi menaik taraf padang stadium bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan hanya Sarawak menjadi negeri pertama bersetuju dengan cadangan tersebut.

Menterinya, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa Sarawak bagaimanapun belum membuat keputusan berhubung lokasi stadium di negeri itu yang akan digantikan dengan rumput jenis Zeon Zoysia bagi melihat kesesuaian penanaman rumput jenis berkenaan.

Sementara itu, sembilan lagi negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perlis, Melaka, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Sabah memohon untuk diberikan pelanjutan masa bagi mengkaji secara mendalam kesesuaian pelaksanaan penanaman rumput Zeon Zoysia di negeri masing-masing.

Menerusi laporan Bernama juga, Hannah turut memaklumkan bahawa tiga negeri lain iaitu Pahang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan pula mempunyai pendirian sendiri apabila tidak bersetuju untuk menerima idea daripada KBS.

Keputusan tersebut dibuat berikutan ketiga-tiga negeri berkenaan mahu menggunakan rumput sedia ada dimiliki di stadium masing-masing ketika ini.

Malah, keputusan yang diambil tiga negeri tersebut sedikit sebanyak menghancurkan impian penyokong yang ingin melihat pasukan kegemaran mereka beraksi dengan kualiti rumput setaraf pasukan gergasi luar negara.

WhatsApp Image 2023-06-13 at 18.00.08

Tangkap layar kenyataan Fadzli.

Tidak ingin membiarkan penyokong terus membuat andaian sendiri dan menyalahkan keputusan pihak kerajaan negeri, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal tampil menjelaskan faktor di sebalik penolakan tawaran tersebut.

Menerusi satu tangkap layar perbualan Fadzli di Instagram, exco tersebut mengatakan bahawa keputusan itu dibuat selepas melihat kepada kos perbelanjaan yang perlu digunakan kerajaan negeri.

“KBS itu bukan bagi percuma. Untuk permulaan Pahang kena tanggung kos RM500,000 untuk tukar rumput. Selepas itu, Pahang kena tanggung RM30,000 setiap bulan untuk kos selenggara rumput. Bukan sikit duit itu,” katanya bagi menjawab soalan dari penyokong Tok Gajah.

Penjelasan daripada Fadzil itu bukanlah alasan semata-mata apabila pihak KBS sebelum ini pernah memberitahu bahawa negeri yang berminat dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia perlu menanggung sendiri penyelenggaraan tahunan padang berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram