Siap 'follow' 2 bekas kapten Pahang, kehadiran penyerang baharu boleh kembalikan nostalgia Tok Gajah dengan Hidalgo


  • Podium
  • Selasa, 13 Jun 2023

Hidalgo pernah mencatatkan beberapa momen manis sepanjang dua tahun bersama skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC

KETUMPULAN jentera serangan merupakan perkara utama perlu diperbaiki Sri Pahang FC ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang bakal dibuka pada Julai.

Kecederaan yang dialami penyerang kelahiran Brazil, Lucas Silva menyaksikannya terus bergelut untuk mendapatkan minit permainan bersama skuad Tok Gajah.

Peranan untuk mengetuai barisan serangan ketika ini dipikul pemain antarabangsa Liberia, Kpah Sherman yang tiba dari Terengganu FC pada awal musim lalu.

Dalam 14 penampilan yang direkodkan dalam saingan Liga Super, peledak berpengalaman itu sudah meraih tujuh gol yang sedikit sebanyak membantu skuad Tok Gajah menduduki tangga keempat ketika ini.

Sumbangan itu pastinya cukup dihargai pengikut Sri Pahang yang mengharapkan sentuhannya setiap kali turun di atas padang tidak pudar sehingga penghujung musim.

Bagaimanapun, dengan dia pernah bergelut dengan isu konsistensi sebelum ini, pihak pengurusan memilih untuk mendapatkan seorang penyerang baharu.

WhatsApp Image 2023-06-13 at 18.34.09

Bödvarsson dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai Sri Pahang. Agensi

Melihat kepada khabar angin yang bertebaran di media sosial, kelab Pantai Timur itu difahamkan sedang berusaha membawa masuk seorang penyerang antarabangsa Iceland, Jón Dadi Bödvarsson.

Pemain yang kini beraksi bersama kelab bawahan England, Bolton Wanderers berkenaan dilihat sebagai satu rekrut cukup baik berdasarkan pengalamannya.

Selain itu, dia yang pernah mengetuai jentera serangan negaranya ketika Kejohanan Euro 2016 juga berpeluang membuktikan ketajamannya di hadapan pintu gol apabila menjaringkan gol semasa menentang Austria.

Ura-ura tersebut bagaimanapun akan menjadi satu realiti apabila semakin ramai yang melaporkan mengenai kehadirannya ketika jendela perpindahan akan datang.

Ia berpunca daripada pemerhatian orang ramai yang mendapati Bödvarsson sudah menjadi pengikut kepada dua bekas kapten Sri Pahang FC, Lee Tuck dan Matt Davies di akaun Instagram peribadinya.

Tindakan itu boleh diterjemahkan sebagai satu usaha daripada penyerang berusia 31 tahun itu yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai kelab berkenaan.

3432acf8-421e-4cdf-b673-bd053e51e66f

Bödvarsson kini sudah mengikuti Instagram Lee Tuck dan Matt Davies.

Namun, persoalan pasti timbul dalam kalangan penyokong tegar skuad Tok Gajah mengenai kebolehan pemain berkenaan untuk memberi nilai tambah buat pasukan itu.

Ini kerana Bödvarsson difahamkan terlibat dengan beberapa siri kecederaan yang menyebabkannya tersisih daripada skuad senior Bolton.

Bagaimanapun, melihat kepada pengalaman lalu, rekrut Sri Pahang FC jarang mengecewakan, lebih-lebih lagi dari segi serangan.

Antara contoh terbaik untuk menceritakan akan hal itu ialah bekas penyerang sayap, Manuel Hidalgo yang tiba dengan reputasi kurang meyakinkan.

Ketika pemain bertubuh kecil itu tiba dari kelab England, Sheffield Wednesday Bawah 23 Tahun (B-23), dia diberi tugasan berat untuk menggantikan Faisal Halim.

WhatsApp Image 2023-06-13 at 18.29.56

Hidalgo kini sudah mendapatkan rentak bersama skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Dia pada awalnya mencetuskan tanda tanya dengan kekurangan dari segi fizikal dengan penyokong Sri Pahang melihat dia sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Namun, keraguan itu mudah dipadam apabila dia bijak menggunakan tubuh badan serta kebolehannya untuk melepaskan diri daripada benteng pertahanan lawan.

Statistiknya di hadapan pintu gol juga bukanlah sesuatu yang mengecewakan apabila dia menjaringkan sembilan gol serta mencipta 14 bantuan jaringan dalam hanya 35 penampilan.

Kini, penyerang sayap yang baru sahaja berusia 24 tahun itu sudah tidak lagi bersama skuad Tok Gajah apabila memilih untuk berkelana ke Kedah Darul Aman FC pada jendela perpindahan yang lalu.

Oleh itu, melihat kepada tanda tanya dan keraguan yang dilontarkan terhadap Bödvarsson, tidak mustahil bahawa penyerang itu mampu menghidupkan momen-momen indah seperti mana dicatatkan Hidalgo. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram