'Saya yang nak ke Pahang', Eky beri klu mahu sertai skuad Tok Gajah


  • Podium
  • Isnin, 12 Jun 2023

Shahrel merekodkan lima gol dan satu hantaran bantuan dalam saingan Liga Super musim ini untuk skuad Jang. — Instagram/ShahrelFikri

KEHEBATAN Sri Pahang FC semakin terbukti apabila selepas 14 perlawanan, skuad Tok Gajah hanya kalah dua kali iaitu ketika tewas 0-2 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dan 1-2 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC dalam saingan Liga Super 2023 musim ini.

Apa yang lebih mengagumkan selepas skuad Tok Gajah rebah dua kali berturut-turut itu, anak-anak buah Fandi Ahmad bangkit menumpaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan keputusan 4-3 walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama.

Dalam aksi di Stadium Darul Makmur pada Jumaat itu, dua jaringan dari Stefano Brundo dan satu gol masing-masing dicetak oleh David Rowley serta penyerang import, Kpah Sherman.

Sering menampilkan persembahan konsisten pada musim ini, pasukan Pantai Timur itu nampaknya semakin menjadi rebutan beberapa pemain dan antara yang mengejutkan ialah tonggak sayap kebangsaan, Safawi Rasid dikaitkan akan ke Darul Makmur pada jendela perpindahan kedua.

Selepas pemain Harimau Selatan itu, Sri Pahang juga nampaknya diam-diam diminati penyerang skuad Jang, Shahrel Fikri apabila seakan-akan mengesahkan minatnya untuk menyertai pasukan Tok Gajah.

WhatsApp Image 2023-06-11 at 22.38.52

Sri Pahang kini menghuni kedudukan keempat liga dengan berkongsi mata bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC. — Facebook/SriPahang

Menerusi video yang dimuat naik penyokong Sri Pahang, bayu_aka_amirulanuar di laman Insta Story, penyerang berusia 28 tahun itu dengan bersahaja menyatakan hasratnya untuk menyarung jersi pemenangan Piala Malaysia sebanyak empat kali itu.

“Pahang nak saya? Saya yang nak Pahang,” jawabnya ketika ditanya oleh penyokong tersebut sama ada Shahrel ataupun pemain dengan panggilan Eky itu berminat menyertai Sri Pahang.

Video berkenaan dipercayai diambil ketika Sri Pahang menang 4-3 ke atas pasukan di bawah bimbingan K.Devan bagi saingan Liga Super musim 2023.

Sekali pun video berkenaan mungkin hanyalah gurauan daripada bekas pemain Selangor FC itu namun Tok Gajah akan mendapat banyak manfaat dari segi serangan jika berhasil menandatangani Shahrel pada jendela perpindahan musim kedua ini.

Kini, Tok Gajah banyak bergantung harap kepada Sherman untuk mengetuai jentera serangan apabila penyerang import, Lucas Silva tidak menunjukkan sebarang impak positif sejak berhijrah ke Darul Makmur pada Januari lalu.

WhatsApp Image 2023-06-11 at 22.38.54

Shahrel yang menyarung jersi Selangor FC dari musim 2021-2022 hanya mencetak dua jaringan gol bersama pasukan itu. — Instagram/ShahrelFikri

Difahamkan pihak pengurusan Sri Pahang akan melepaskan Lucas pada Julai nanti dan pastinya mereka sedang mencari calon pengganti yang boleh membantu Tok Gajah memperoleh tiga mata.

Musim ini, pemain kelahiran Sabah itu menjadi antara penyerang tempatan yang digeruni pihak lawan dan buktinya apabila Shahrel merekodkan lima gol dan satu hantaran bantuan dalam saingan Liga Super dan satu gol dalam perlawanan Piala FA dengan sebanyak 12 penampilan ketika beraksi bersama skuad NSFC.

Persembahan cemerlangnya bersama skuad Jang juga menarik perhatian Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk meletakkan Shahrel dalam senarai 27 pemain bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram