Tak cepat melatah, bos TBG ada jawapan isu kelab kena sekat beli pemain oleh MFL


  • Podium
  • Selasa, 13 Jun 2023

Angkara salah faham, Perak FC dipetik kelab yang akan disekat pada jendela perpindahan kedua pada Julai nanti. — Facebook/ Perak FC

GARA-GARA isu gaji musim lepas dijadikan contoh kes, nama Perak FC pula tiba-tiba dipetik antara dua pasukan yang berisiko dikenakan sekatan pembelian pemain menjelang jendela perpindahan kedua.

Baru-baru ini laporan dari media tempatan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan sekatan tersebut dan keputusan tersebut akan diputuskan selepas Unit Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) mengadakan perbincangan lanjut.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, situasi terbabit perlu dilakukan untuk memastikan pasukan tidak mengambil mudah dalam melunaskan gaji pemain dan pegawai pasukan mengikut apa yang terkandung dalam kontrak.

Ramai penyokong mulai berteka-teki mengenai dua kelab tersebut dan laman Facebook, Malayantigerfans menjadi medan sebahagian pengikut bola sepak tempatan berbincang mengenai isu sekatan pemain tersebut.

WhatsApp Image 2023-06-13 at 16.32.55

Tangkap layar hantaran Malayantigerfans.

Nama pasukan The Bos Gaurus (TBG) dipetik oleh penyokong berikutan sebahagian daripada mereka salah faham dengan perenggan ketiga yang dimuat naik oleh laman penyokong, Malayantigerfans.

Musim lalu, isu tunggakan gaji yang menimpa Sarawak United menyebabkan pasukan itu dikenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing untuk tiga jendela perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perak FC suatu ketika dahulu turut dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain oleh FIFA susulan kegagalan menyelesaikan isu tunggakan gaji lebih RM1.7 juta di bawah pengurusan lama,” petikan dari laman berkenaan.

Pantas memberi respons mengenai salah faham tersebut, Ketua Pegawai Eksklusif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin memberi jawapan untuk meredakan amarah penyokong Seladang.

WhatsApp Image 2023-06-13 at 16.35.57

Bobie Farid ketika menghadiri perlawanan skuad TBG. — Facebook/ Perak FC

“Ada orang tanya. Apa cerita CEO ???? Ok ini jawapan dia. Perenggan ketiga dia bermula dengan ayat MUSIM LALU dan nak cerita ada kelab yang dikenakan tindakan transfer ban sebab gaji tak bayar. So MUSIM lalu bukan sekarang... lagi sekali MUSIM LALU... Biarkan berlalu bak kata Wings. Sekian berita tengah hari,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, TBG Super Fans.

Selain Perak, rata-rata penyokong memetik Kelantan FC merupakan salah satu pasukan yang akan dikenakan sekatan pemain oleh MFL berikutan skuad The Red Warriors (TRW) kini terpalit dengan isu tunggakan gaji.

Seperti yang diketahui sejak pemecatan bekas pengendali TRW, Choi Moon-sik, satu persatu masalah dalaman membabitkan Kelantan mula terbongkar sehingga ramai pemain kelab Pantai Timur itu juga berani tampil mendedahkan isu luar padang Kelantan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram