PENYERANG sayap kebangsaan negara, Faisal Halim menegaskan bahawa dia bersama rakan sepasukan sudah bersedia untuk berdepan Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Rabu.
Menurutnya, kesemua pemain negara sedang berada dalam keadaan terbaik dan sudah tidak sabar untuk beraksi.
Bagaimanapun, penyerang Selangor FC itu berkata, tiada perlawanan mudah buat Harimau Malaya di peringkat antarabangsa selain pemain negara perlu memanfaatkan perlawanan itu sebagai persiapan menjelang Kejohanan Piala Asia Qatar 2023 awal tahun depan.
"Semua orang dalam keadaan terbaik dan tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan pertama. Saya harap semua pemain dapat memberikan yang terbaik di Terengganu.
"Bagi saya, semua perlawanan bukan mudah buat skuad kebangsaan kerana semua pasukan yang datang ada pemain berbakat dan tahap tersendiri, cuma kualiti pemain akan membezakannya.
"Saya percaya dengan pasukan yang ada sekarang, dengan taktikal jurulatih Kim (Pan-gon), kami mampu melakukan sesuatu dalam dua perlawanan ini," katanya kepada Astro Arena.
Malaysia akan berdepan Kepulauan Solomon yang kini berada di tangga ke-134 dalam ranking FIFA sebelum berdepan Papua New Guinea dalam perlawanan persahabatan kedua yang turut berlangsung di venue sama pada 20 Jun. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram