NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
TERCEGAT di kawasan teknikalnya di tepi padang menuju penghujung perlawanan, ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz, hanya dapat menghitung seorang demi seorang pemainnya diusung keluar.
Perasaannya teramat sayu, namun tidak ramai yang mengerti, malah jauh sekali untuk bersimpati.
Mula-mula penjaga gol, Ramdhan Hamid, dibawa keluar di atas pengusung pada minit ke-75 dan ini disusuli Safiee Ahmad dan Dzulfahmi Hadi di tengah pekikan penyokong Selangor FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada Sabtu.
Kecaman sedemikian boleh difahami sebagai protes penyokong skuad Gergasi Merah itu di atas kepercayaan mereka bahawa ia satu helah untuk melengah-lengahkan permainan yang ketika itu menyaksikan PDRM FC mendahului 1-0.
“Inilah nasib pasukan kerdil seperti PDRM FC. Pemain (benar-benar) cedera pun disangkakan menipu. Kalau kami hendak menang pun, saya juga tak ingin ia dicapai dengan cara seperti itu,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.
Sebelum ditimpa kecederaan, Ramdhan beraksi kali terakhir bersama PDRM ketika menentang Terengganu. — Facebook/PDRMFC
Ramdhan, 29, sebelumnya beraksi dalam empat perlawanan pertama pada awal musim sehingga kad merah yang diterimanya ketika menentang Terengganu FC di Kuala Terengganu pada 11 Mac.
Dia kemudian tersisih gara-gara kecederaan lutut dalam latihan dan hanya kembali sewaktu menentang Negeri Sembilan pada 18 Mei.
Azzmi mempertahankan di sebalik reputasi selaku pasukan kerdil dari Liga Perdana musim lalu di samping berbajet kecil dibandingkan dengan kebanyakan pasukan lain, ia bukanlah penghalang untuk mereka bercita-cita menumbangkan satu atau dua pasukan besar.
Kemenangan bersejarah ke atas Selangor FC hasil jaringan Bruno Suzuki pada minit ke-61 itu, katanya, adalah bukti kesungguhan pemain-pemainnya yang telah melakukan persiapan secukupnya agar tidak diperkotak-katikkan oleh lawan lebih ternama.
“Mungkin pada kebanyakan orang lain, kerapnya pengusung dibawa masuk pada penghujung perlawanan adalah helah pasukan kecil seperti kami untuk melengah-lengahkan masa dan mengecewakan lawan.
“Tapi saya ingin tegaskan yang pemain-pemain saya sanggup merisikokan patah kaki dan terpaksa berehat panjang dalam kesungguhan mereka bermati-matian untuk memastikan kemenangan ketika sedang mendahului,” katanya.
Bruno menjadi wira PDRM apabila jaringan tunggalnya memberi tiga mata berharga pada aksi menentang Selangor FC. — Facebook/PDRMFC
Jurulatih berusia 48 tahun itu turut berkongsi yang pasukannya telah mengkaji corak permainan Selangor FC dalam perlawanan terdahulu, lantas latihan mereka tertumpu kepada meningkatkan tahap kecergasan untuk menyaingi lawan yang lazimnya lebih dominan dalam penguasaan bola.
Katanya, turut ditekankan ialah menekan lawan ketika mereka menguasai bola di samping cepat menutup ruang bagi meminimumkan opsyen buat skuad Gergasi Merah itu meloloskan hantaran ke barisan serangannya.
“Kami tidak menugaskan pemain khusus untuk merantai Faisal (Abdul Halim). Kami tahu dia akan melarikan bola di bahagian sayap dan kemudian akan cuba memintas masuk ke dalam. Kami tetapkan apabila seorang pemain pergi mengacahnya, seorang lagi akan menunggu untuk menghalang.
“Begitu juga dengan Quentin (Cheng) yang gemar naik membantu dari bahagian sayap kanan. Kami ada pemain-pemain yang bertugas menyekat kemaraannya hingga dia tidak dapat bermain seperti biasa.
“Kesudahannya, semuanya nampak dalam kawalan kami hingga Selangor juga tiada melakukan percubaan-percubaan jauh (daripada Mukhairi Ajmal Mahadi dan Yohandry Orozco) seperti selalu sedangkan kami hanya sasarkan untuk seri,” tambahnya.
Antara aksi pemain The Cops dalam aksi bertemu Gergasi Merah pada Sabtu. — Facebook/PDRMFC
Di sebalik pertahanan sasa, James Okwuosa, banyak menggagalkan ancaman lawan pada malam itu, Azzmi, bagaimanapun, enggan menyandarkan kemenangan mereka kepada satu-satu pemain tertentu, sebaliknya menghamburkan pujian kepada keseluruhan pasukan, termasuk kapten, Azmi Muslim, yang menyerlahkan kepemimpinannya.
Rentetan lima kekalahan kepada Sri Pahang FC 1-2, Penang FC 2-4, Johor Darul Takzim (JDT) 0-1, Kuala Lumpur City FC 0-3 dan Negeri Sembilan FC 1-2, skuad The Cops itu juga seakan-akan sudah serik untuk memberanikan diri bermain secara terbuka yang akhirnya membawa padah.
“Pada saya, biarlah netizen menghentam kami kerana bermain secara bertahan daripada kami menurutkan kemahuan mereka supaya bermain secara terbuka hingga akhirnya kami menanggung kekalahan demi kekalahan.
“Bermula ketika menentang Negeri Sembilan, kami memutuskan untuk kembali kepada asas dengan formasi 5-3-2 dan menanti detik terbaik untuk melakukan serangan balas. Setakat ini, pendekatan itu nampak lebih sesuai dengan kemampuan kami,” katanya.
Skuad Sang Saka Biru tewas nipis 1-2 di tangan Negeri Sembilan FC 1-2. — Facebook/PDRMFC
Azzmi, bagaimanapun, mengakui kejayaan mengejutkan Selangor FC mungkin membawa bersamanya masalah baru buat pasukannya selepas ini, dimulai dengan perlawanan menentang Sabah FC di Stadium MBPJ pada Khamis sebagai pembuka tirai pusingan kedua liga.
Pertamanya, seperti sewaktu PDRM FC mendaki setinggi tangga keenam pada satu ketika di awal musim, lawan akan menghadapi mereka dengan persiapan lebih rapi di samping menampilkan kesebelasan terbaik.
Keduanya, pemain-pemain The Cops itu akan memikul tekanan berlebihan dalam memastikan kesinambungan terhadap prestasi mereka yang memberangsangkan, apatah lagi sesudah Selangor FC di tangga kedua liga dapat ditundukkan.
Selepas ini, PDRM FC akan beradu kekuatan dengan Sabah FC di MBPJ pada Khamis. — Facebook/PDRMFC
“Saya tetap positif dengan suasana terbaru berkaitan pasukan kami. Saya tidak kata kami akan menang selalu selepas ini tapi ini akan jadi dorongan untuk pemain-pemain memenuhi intensiti yang akan dipertingkatkan dalam latihan.
“Saya perlukan kesungguhan bukan saja pasukan utama, malah semua 30 pemain yang berdaftar dalam pasukan. Seperti yang kami sudah belajar, kami perlu lebih bersabar, menghadapi satu demi satu perlawanan dan tidak memandang terlalu jauh ke hadapan.
“Kami juga perlu bersikap realistik dengan kemampuan pasukan. Sudah tentu kami tak akan menang semua tapi kami juga harus tak akan kalah semua.
“Pemain-pemain dah boleh terima apa yang pasukan harapkan daripada mereka. Saya harap kami mampu terus bersaing dengan apa yang kami ada,” kata Azzmi lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram