[VIDEO] Sketsa bertukar tragedi, maskot rebah kena 2 pukulan K.O McGregor


  • Podium
  • Isnin, 12 Jun 2023

Tangkap layar McGregor menumbuk jatuh maskot Burnie hingga terbaring di atas lantai. — Agensi

SATU tumbukan daripada bintang UFC, Conor McGregor mengakibatkan maskot Miami Heat, Burnie terpaksa dikejarkan ke hospital ketika Pusingan Akhir NBA pada Jumaat.

Menurut The Athletic, McGregor menumbuk jatuh Burnie yang memakai sarung tangan tinju besar sehingga terbaring ke lantai sebelum menambah satu lagi tumbukan sewaktu maskot Miami itu sedang menahan kesakitan.

Difahamkan perkara tersebut berlaku ketika kedua-dua mereka sedang membuat sketsa yang dirancang pada perlawanan 4 Pusingan Akhir NBA di Pusat Kaseya di Miami, Amerika Syarikat.

Sketsa itu bertujuan untuk mempromosikan produk semburan tahan sakit yang membantu melegakan kesakitan, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Lelaki yang mengenakan maskot Burnie dihantar pulang ke rumahnya dari hospital selepas menerima rawatan dan diberi ubat tahan sakit.

Pasukan media McGregor tidak mempunyai sebarang komen apabila dihubungi CNN mengenai kontroversi tersebut, malah Miami Heat dan NBA juga enggan memberi sebarang kenyataan.

Peninju tersebut diejek sebahagian besar penyokong Miami sejak awal ketibaannya dan menunggu sehingga penghujung perlawanan itu dengan menyaksikan pasukan Denver Nuggets menang 105-95 untuk mendahului 3-1.

McGregor tidak bertanding dalam acara UFC sejak patah kaki kiri dalam pertarungan dengan Dustin Poirier pada Julai 2021. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram