Junior Eldstal buka mulut, akui terima layanan kurang adil di Thailand


  • Podium
  • Isnin, 12 Jun 2023

Junior gembira dapat menarik perhatian Pan-gon walaupun kurang minit permainan bersama PT Prachuap . — Facebook/FAM

BEK tengah pasukan kebangsaan, Junior Eldstal sedar bahawa dirinya perlu cergas sebagai pemain untuk mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya.

Pemain berusia 31 tahun itu membuktikan kecergasannya itu apabila jurulatih bola sepak Malaysia, Kim Pan-gon menyenaraikannya untuk perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomon pada Rabu dan Papua New Guinea (20 Jun) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Kuala Terengganu, Terengganu.

Pemain pertahanan Johor Darul Takzim (JDT) musim ini yang dipinjamkan ke kelab Thailand PT Prachuap itu gembira dapat menarik perhatian pengendali dari Pan-gon walaupun kekurangan minit permainan di negara jiran.

Pemain kacukan Malaysia-Sweden itu begitu teruja dengan panggilan skuad kebangsaan tersebut sehingga melaporkan diri lebih awal dan bukannya pada tarikh rasmi 10 Jun.

Junior menjalani latihan kecergasan bersama jurulatih kecergasan kebangsaan, Park Ji-hyeon selama seminggu dan barisan kejurulatihan gembira dengan keputusan yang ditunjukkan bekas pemain Chonburi itu.

WhatsApp Image 2023-06-12 at 08.57.44

Pan-gon memangil Junior lebih awal untuk menguji kecergasannya. — Facebook/FAM

"Saya menyertai awal kerana liga Thailand tamat sejak sebulan lalu. Saya meluangkan masa bersama keluarga di Australia dan bersenam di bawah jurulatih tiga hingga empat hari seminggu.

'"Jurulatih Kim meminta saya datang seminggu lebih awal untuk melihat tahap kecergasan saya sebelum panggilan kebangsaan dan dia gembira selepas melihat prestasi saya.

“Saya tidak akan menjelaskan secara terperinci apa yang berlaku dalam perjanjian pinjaman saya di Thailand tetapi saya dilayan secara tidak adil dan ia adalah masa yang sukar bagi saya.

"Saya gembira kerana saya bekerja keras untuk mengekalkan kecergasan ini kerana saya tahu akan sentiasa ada peluang untuk dipanggil,” katanya yang telah memenangi 16 kaps bersama Malaysia.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa Pan-gon memilih Junior berikutan dia hanya membuat tiga penampilan gantian dalam Liga Thai bersama Prachuap.

Bagi beberapa penyokong, ramai lagi pemain yang lebih layak dipanggil daripada bekas tonggak Sarawak FA itu namun Junior tidak terpengaruh dengan anasir negatif berkenaan.

“Saya tidak membaca sebarang komen, saya cuba fokus bermain bola sepak dan memberikan yang terbaik untuk keluarga. Selepas lebih 10 tahun mewakili negara saya, saya tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa. Mereka tahu menilai saya.

"Saya telah menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan senior dan Bawah 23 tahun selama lebih 10 tahun, walaupun saya telah terlepas beberapa panggilan sebelum ini,” tambahnya.

Junior akan bertarung untuk beraksi pada dua aksi persahabatan itu berikutan Pan-gon mempunyai pilihan bek tengah seperti trio JDT, Shahrul Saad, Matthew Davies dan Feroz Baharuddin selain Dominic Tan dari Sabah FC.

"Kami mempunyai kumpulan besar pemain berbakat yang hanya akan mendorong dan memacu satu sama lain untuk menjadi lebih baik. Ramai dalam skuad telah bermain beberapa perlawanan bersama yang merupakan kunci dalam perlawanan persahabatan,” kongsinya.

Mengenai masa depan kelabnya, Junior berkata, bahawa dia mungkin kembali ke JDT atau tinggal untuk satu musim lagi di Thailand tetapi dengan pasukan yang berbeza.

"Dengan berakhirnya pinjaman, ada kemungkinan untuk kembali ke sini tetapi pintu juga masih terbuka di Thailand. Buat masa ini, saya fokus pada kem latihan kebangsaan,” ujarnya. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram