Pan-gon waspada 'sizing' pemain lawan, kagum prestasi 2 tonggak naturalisasi HM


  • Podium
  • Isnin, 12 Jun 2023

Pemain Harimau Malaya ketika latihan menjelang aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea. — Facebook/FAM

KEPULAUAN Solomon dan Papua New Guinea bukanlah nama terkemuka dalam dunia bola sepak namun pengendali Malaysia Kim Pan-gon mengetahui potensi ancaman mereka.

Jika dilihat dari segi kedudukan dunia, Kepulauan Solomon menghuni empat tempat di atas Malaysia, No. 138 dunia dalam ranking FIFA.

Mereka datang ke Malaysia dalam prestasi yang baik kerana baru sahaja memenangi dua perlawanan persahabatan terakhir menentang Fiji (2-0) dan Vanuatu (2-0).

Bukan itu sahaja, pasukan tersebut juga mempunyai beberapa pemain terbaik seperti penyerang, Raphael Lea’i, yang baru berusia 19 tahun tetapi sudah menjaringkan lima gol dalam hanya tujuh penampilan untuk negaranya.

Selain bergelar pemain bola sepak di beberapa kelab liga teratas Bosnia, Velez Mostar, Raphael juga menjalankan perniagaannya di Eropah.

WhatsApp Image 2023-06-12 at 14.12.02

Pasukan Kepulauan Solomon difahamkan sudah berada di Malaysia untuk aksi pada Khamis ini. — Facebook/SolomonIsland

Sementara itu, bagi Papua New Guinea pula pasukan itu berada di kedudukan ke-159 di dunia tetapi terkenal dengan work rate dan fizikal mereka.

Perlawanan terakhir Malaysia menentang Papua adalah pada 2016, apabila menewaskan pasukan itu 2-1 di Stadium Shah Alam pada 14 November.

Tetapi sebelum itu, Malaysia ditewaskan 0-2 di Stadium Sir John Guise di Port Moseby, Papua New Guinea yang mengundang kemarahan pengkritik bola sepak Malaysia.

Malaysia akan menentang Kepulauan Solomon pada Khamis dan Papua New Guinea pada 20 Jun. Kedua-dua perlawanan akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu.

Pan-gon berharap anak buahnya akan mempamerkan DNA Malaysia dan mengekalkan prestasi di tempat sendiri tanpa kalah.

WhatsApp Image 2023-06-12 at 14.11.59

Pan-gon berharap dapat mengekalkan rentak kemenangan dalam dua aksi persahabatan Jun ini. — Facebook/FAM

“Kami akan menentang dua negara Oceania. Ia berbeza berbanding pasukan dari Asia Tenggara dari segi standard fizikal.

“Kami mahu melihat sejauh mana kami boleh menyesuaikan diri dengannya, bagaimana kami boleh menguasai permainan dan berapa minit kami boleh mengawal perlawanan. Ia akan menjadi ujian yang baik untuk kami,” katanya.

Pada Mac lalu, Harimau Malaya menewaskan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0. Kedua-dua perlawanan itu diadakan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Pan-gon mahu perkara itu diteruskan kerana dia mahukan latihan berkualiti sebelum beraksi dalam Piala AFC tahun depan di Qatar.

“Kami mahu membangunkan taktik dan DNA kami secara berterusan. Saya mahu mengekalkan ciri-ciri kita. Kami mahu mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.

“Kami mahu memberikan persembahan yang baik kepada peminat Terengganu dan Malaysia. Kemenangan memberi kami keyakinan. Dalam dua perlawanan ini, saya hanya mahukan kemenangan,” jelasnya.

WhatsApp Image 2023-06-12 at 14.12.01

Debut Endrick dan Josue pada Mac lalu meninggalkan impak positif dalam skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

Daripada 26 pemain dalam skuadnya,13 adalah dari Johor Darul Takzim (JDT) yang kini mendominasi Liga Super dengan 14 kemenangan berturut-turut.

Pengendali dari Korea Selatan itu juga tidak sabar untuk melihat bintang naturalisasi seperti Endrick dos Santos dan Paulo Josue berkembang lebih kuat dalam pasukan kebangsaan.

“JDT, pada masa ini, telah melakukannya dengan baik. Mereka kuat. Mood itu boleh memberi kami perkara yang baik di sini.

“Biasanya, saya tidak menyebut individu, tetapi dua pemain ini (Dos Santos dan Josue) menyertai kami di kem terakhir dan mengagumkan. Semoga mereka dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik dan memberikan prestasi yang lebih baik kepada kami,” tambahnya.

Sementara itu, penyerang Kuala Lumpur, Haqimi Azim Rosli tercicir daripada kem latihan kerana sakit. Berita itu disahkan oleh Pan-gon apabila pasukan itu melaporkan diri untuk latihan pada Sabtu. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram