
STADIUM Shah Alam yang bakal menjadi rumah baharu pasukan Selangor FC difahamkan akan memulakan proses perobohan bermula awak Oktober selepas ditangguhkan dari jadual asal.
Sebelum ini, stadium yang dikatakan setaraf dengan Stadium Anfield dan Stadium Tottenham Hotspur di London itu dijadual akan memulakan proses perobohan bermula Jun namun terpaksa ditunda atas faktor-faktor tertentu.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menerangkan walaupun proses permulaan bermula sedikit lewat namun, jangkaan siap sepenuhnya masih pada 2026.
"Kita terpaksa ambil masa, sepatutnya bulan ini untuk mula perobohan tetapi kita hendak bincang supaya dapat harga yang lebih baik dengan syarikat yang akan membina kawasan ini," katanya.
"Sekarang ini proses penghantaran permohonan Kebenaran Merancang (KM) sudah dilakukan.
"Perobohan bukan bulan ini (Jun), perobohan memerlukan KM sebab ini adalah struktur besar...kalau hendak roboh bukan mudah sebab segala proses perlu dilihat. Perobohan dijangka September atau Oktober nanti.
"(Kompleks) tetap akan siap pada tahun 2026 iaitu mula awal 2026 dan (siap) suku ke tiga tahun 2026,” katanya memetik laporan dari Stadium Astro.
Terdahulu berita pembangunan semula Stadium Shah Alam itu menggembirakan penyokong Gergasi Merah dan gelanggang baharu The Red Giants tersebut akan mempunyai kapasiti antara 35,000 hingga 45,000 penonton. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram