PEMAIN tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Lee Tuck, menegaskan dia mahu memanfaatkan dua aksi persahabatan antarabangsa bersama Harimau Malaya dalam usaha menambat hati pengendali pasukan, Kim Pan-gon.
Tanpa berselindung, pemain naturalisasi kebangsaan itu menyimpan hasrat untuk terpilih dalam senarai akhir pemain yang akan menggalas cabaran Malaysia di pentas Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung di Qatar awal tahun depan.
Skuad negara bakal melayani kunjungan Kepulauan Solomon pada Rabu dan Papua New Guinea pada 20 Jun depan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Lee Tuck dalam perkembangan sama turut mengakui gembira dengan prestasinya dalam saingan Liga Super ketika ini yang menyaksikan dia sudah pun mencetak empat gol di samping membantu Kedah menghuni kedudukan ketiga liga selepas 14 perlawanan.
"Saya sangat berbangga dan gembira untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan. Ini adalah masa untuk kembali berusaha keras dan cuba memberikan yang terbaik.
"Skuad negara memiliki barisan pemain yang berkualiti dan saya mahu menumpukan peluang mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram