
PERLAWANAN akhir Liga Juara-juara UEFA (UCL) pada awal pagi Ahad sememangnya cukup dinanti-nantikan penyokong bola sepak seluruh dunia.
Pertemuan antara Manchester City dan Inter Milan boleh dikatakan lebih berpihak kepada skuad The Citizen yang sudah menjulang dua trofi musim ini.
Jika mereka muncul sebagai juara dalam aksi yang bakal berlangsung di Stadium Olimpik Ataturk, Turki, kelab berkenaan akan menjadi pasukan Inggeris kedua meraih gelaran 'treble' selepas Manchester United.
Namun, bagi penyerang senior Inter Milan, Edin Dzeko, kelab Itali tersebut tidak akan mengibarkan bendera putih terlalu awal walaupun memahami akan perbezaan kedua-dua pasukan.
Dzeko pernah mewakili Manchester City dari tahun 2011 sehingga 2015. — Agensi
"Berada di peringkat akhir UCL, saya tahu bahawa saya sudah berusia 37 tahun dan ini merupakan penampilan final terakhir saya dalam pertandingan ini.
"Tetapi, kita tidak tahu akan pengakhirannya, jadi saya akan buat yang terbaik dan menikmati momen ini. Kami mempunyai musim yang cukup baik dalam UCL, sedikit bergelut di Serie A, namun masih memenangi Coppa Italia dan Super Coppa," katanya.
Sebelum ini, penyerang antarabangsa Bosnia itu juga pernah mewakili gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selama lima tahun dari 2011 sehingga 2016.
Sepanjang tempoh tersebut, Dzeko berjaya menjaringkan 72 gol dalam kesemua pertandingan di samping mengecapi beberapa kejayaan, termasuk menjulang trofi EPL pada musim 2011/12.
Dia kemudiannya memilih untuk berkelana ke Itali dan menyertai Roma sebelum berpindah ke Inter Milan pada jendela perpindahan musim panas 2021. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram