Maguire perlu tentukan masa depannya sendiri — ten Hag


  • Podium
  • Selasa, 30 Mei 2023

Masa depan Maguire bersama skuad The Red Devils semakin samar selepas satu musim yang suram. — Agensi

SELEPAS gagal melayakkan diri ke Liga Juara-juara UEFA (UCL) musim lalu, Manchester United akhirnya mampu menarik nafas lega apabila berjaya menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ketiga.

Kehadiran pengurus dari Belanda, Erik ten Hag boleh dianggap sebagai titik perubahan kelab berkenaan dengan namanya cukup dikenali sekitar Eropah.

Malah, sentuhan pengendali berusia 53 tahun itu juga cukup dirasai selepas membantu skuad The Red Devils menamatkan kemarau kejuaraan apabila memenangi Piala Liga Februari lalu.

Kini, dengan liga sudah melabuhkan tirainya, Manchester United pasti akan memberi perhatian akan jendela perpindahan musim panas yang dijangka dibuka pada 14 Jun.

Rombakan besar-besaran pasti akan dibuat pihak pengurusan memandangkan terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu diperbaiki secepat mungkin.

manchester-uniteds-lisandro-martinez-left-798874488

Gandingan kental antara Varane dan Martinez menutup ruang buat Maguire. Agensi

Hal berkenaan juga pastinya dirasakan ten Hag dengan perkara tersebut sudah beberapa kali ditekankan sekiranya kelab itu mahu muncul sebagai pencabar kepada takhta EPL.

Antara posisi yang semestinya menjadi tumpuan ialah benteng pertahanan pasukan yang dibolosi sebanyak 43 kali dalam EPL musim lalu.

Walaupun mempunyai khidmat dua bek tengah kental, Lisandro Martinez dan Raphael Varane, Manchester United pasti mahu mencari seseorang dengan kebolehan untuk beraksi dengan baik setiap kali diberikan peluang.

Namun, sekiranya ia merupakan hal yang ditekankan pihak pengurusan, tanda tanya pasti timbul mengenai masa depan kapten kelab, Harry Maguire.

Pemain berusia 30 tahun itu kerap diletakkan di bangku simpanan pada musim 2022/23 disebabkan kekerapannya melakukan kesilapan sering memakan diri.

Menjawab akan hal itu, ten Hag dalam satu sesi temu bual baru-baru ini mahu Maguire menentukan masa depannya sendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Kim-Min-jae-1

Min-jae dikatakan semakin hampir dengan perpindahan ke Manchester United. Agensi

"Saya faham bahawa tiada pemain boleh menerima perkara berkenaan dengan mudah. Saya tahu dia sering berlatih dengan bersungguh-sungguh.

"Jadi, saya tahu Maguire akan menguruskan hal tersebut dengan sebaik mungkin. Andai kata dia memahami dengan situasi ketika ini, saya tidak kisah jika dia memilih untuk kekal," katanya.

Musim ini, pemain antarabangsa England tersebut hanya diturunkan dalam 16 perlawanan EPL dengan separuh daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.

Ketika ini, The Red Devils dikatakan berminat untuk mendapatkan bek tengah antarabangsa Korea Selatan, Kim Min-jae selepas membantu Napoli menjuarai liga musim ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram