SIJIL kelahiran merupakan antara dokumen penting perlu dimiliki oleh setiap warganegara Malaysia.
Bagi bayi yang baru lahir, dokumen tersebut adalah wajib didapatkan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menentukan status kewarganegaraan mereka.
Namun begitu, kepentingan kegunaan sijil kelahiran didapati semakin berkurangan memandangkan hampir keseluruhan urusan kini dilakukan dengan menggunakan MyKad atau Kad Pengenalan.
Ia seiring dengan kemajuan teknologi tinggi diperkenalkan terhadap MyKad.
Disebabkan itu, ramai pihak seakan-akan terus melupakan kepentingan sijil kelahiran sehingga menyebabkan dokumen itu terbiar usang khususnya bagi mereka yang sudah agak berusia.
Pada masa sama, terdapat juga situasi di mana sijil kelahiran yang dimiliki oleh seseorang individu itu sebenarnya sudah sampai ke tahap tidak sah untuk digunakan.
Susulan daripada pemahaman sedemikian juga, ramai pihak tidak menyedari bahawa perkara itu berpotensi mencetuskan masalah apabila mereka menjalankan urusan memerlukan kepada sijil kelahiran terkini sebagai sebahagian daripada dokumen pembuktian.
Seorang pengguna Facebook, CikRose Bani turut berkongsikan mengenai masalah dihadapinya ketika menggunakan sijil kelahiran lama semasa berurusan dengan dua agensi utama kerajaan.
Sijil kelahiran lama milik abang CikRose Bani yang dikongsikan di Facebooknya. — Facebook/CikRoseBani
"Ini sijil kelahiran (surat beranak) abang saya. Apabila berurusan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), rupanya sijil kelahiran yang lama sudah tidak sah (valid). Perlu tukar yang baru, saiz terkini lebih besar," katanya.
Bagi sijil kelahiran lama melibatkan individu yang sudah meninggal dunia, CikRose Bani berkata, waris keluarga perlu ke pejabat JPN terdekat dengan membawa kad pengenalan asli dan salinan untuk memperbaharui dokumen tersebut bagi membolehkan ia digunakan untuk sebarang urusan.
"Tetapi sekiranya pemilik belum meninggal, boleh pergi JPN sendiri atau wakilkan sesiapa dengan membawa dokumen yang sama iaitu kad pengenalan asli dan salinan.
"Setiap sijil kelahiran baru yang dicetak akan dikenakan bayaran RM5 untuk urusan di kaunter JPN yang menggunakan sistem tanpa tunai (cashless). Nasihat kak Ros, sebaiknya tukarlah yang baru untuk mudahkan urusan waris," ujarnya.
Individu yang mahu memperbaharui sijil kelahiran perlu hadir ke pejabat JPN terdekat. — Gambar hiasan
Susulan perkongsian tersebut, rata-rata warganet menyatakan bahawa mereka turut menyedari mengenai kepentingan memperbaharui dokumen tersebut.
"Ok saya punya surat beranak nak tukar baru la," tulis Nursuryani binti Ramli.
Dalam pada itu, terdapat juga warganet mengingatkan beberapa kepentingan menggunakan sijil kelahiran termasuk dalam pengurusan harta pusaka.
"Sekarang memang guna IC (kad pengenalan), tapi bila dah meninggal ada juga urusan yang perlukan surat beranak. Baru-baru ini ada buat urusan khairat kematian mereka perlukan surat beranak juga," kata Suzyliana Abdullah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram