Harith Iskander ajar Jocelyn cara berkomedi — 'Saya pun sering buat lawak mengenai Singapura'


  • Tular
  • Khamis, 08 Jun 2023

Tangkap layar video dikongsikan Harith di Instagramnya yang mengulas mengenai kontroversi dicetuskan pelawak asal Singapura, Jocelyn.

RUANG kebebasan berekspresi yang diberikan kepada pelawak tidak seharusnya menjadi lesen membenarkannya bagi melontarkan pandangan tanpa memikirkan kesan besarnya terhadap masyarakat, kata pelawak terkenal negara, Harith Iskander.

Beliau berkata, ia lebih-lebih lagi sekiranya perkara disentuh itu melibatkan isu sensitif dan traumatik bagi sesebuah masyarakat dan negara.

"Sebagai pelawak, saya menghormati kebebasan bersuara yang diperlukan pelawak untuk melakukan kerja kita, tetapi sama pentingnya untuk kita menggunakan kepekaan dan empati apabila melakukan sesuatu bahan komedi berdiri terutamanya topik yang sangat peribadi dan tragik.

"Komedi boleh menjadi alat yang berkuasa untuk membuat ulasan sosial, namun ia perlu digunakan dengan bertanggungjawab. Jadi, artis dan pelawak perlu peka dengan potensi impak yang dibawa daripada kata-kata mereka," ujarnya menerusi hantaran video di Instagramnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kontroversi dicetuskan pelawak asal Singapura, Jocelyn Chia yang menjadikan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai bahan jenaka.

Harith berkata, insiden kehilangan pesawat negara itu merupakan peristiwa yang traumatik dan memberikan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, Jocelyn harus sedar bahawa seperti semua seni lain, komedi merupakan satu bentuk ekpresi yang subjektif.

jocelyn

Tangkap layar video tular memaparkan Jocelyn membuat lawak jenaka menghina Malaysia menerusi satu persembahan komedi berdirinya.

"Ia bermakna, perkara melucukan kepada seseorang, mungkin tidak semestinya lucu kepada orang lain dan dalam hal ini, konteks adalah sangat penting..

"...dia perlu sedar pada zaman media sosial, memilih menyentuh mengenai Malaysia dan mengangkat isu MH370 akan menyebabkan ia mudah tersebar dan mempunyai kesan yang luas," katanya.

Harith menambah, beliau percaya pelawak termasuk yang memilih untuk melakukan komedi berdiri perlu berusaha bagi mewujudkan persekitaran komedia yang positif dan inklusif.

"Saya membuat lawak mengenai Singapura sepanjang masa. Ia merupakan sebahagian daripada gurauan mesra membolehkan kita hidup bersama. Kita adalah seperti sepupu yang sedang bersaing sesama sendiri.

"Akhirnya Jocelyn sebelum saya mengundur diri, saya hanya ingin mengatakan satu perkara. Malaysia mungkin masih sebuah negara sedang membangun, tetapi apabila bercakap mengenai kebaikan dan keprihatinan, kami pasti berada pada tangga pertama di dunia," katanya.

Klip persembahan komedi berdiri oleh Jocelyn dipercayai dijalankan di Manhattan, New York, Amerika Syarikat itu tular di sosial sejak Rabu dan mendapat kecaman kerana disifatkan tidak sensitif terhadap tragedi MH370.

Menerusi klip tersebut, pelawak wanita itu turut memberikan perbandingan antara Singapura yang menurutnya sudah lebih maju berbanding Malaysia yang disifatkan masih sedang membangun.

Dalam pada itu, Kerajaan Singapura pada Khamis tampil pada memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau Jocelyn yang merupakan pelawak berasal dari negara itu.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon pada masa sama turut memaklumkan Jocelyn tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura dan kata-kata atau tindakannya sama sekali tidak mencerminkan pandangan negara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram