'Mungkin dokumen sukar dibaca', JPN nafi dakwaan sijil lahir lama tidak sah digunakan  


  • Massa
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Sijil kelahiran lama dikongsikan pengguna yang didakwa sudah tidak sah untuk digunakan ketika berurusan dengan beberapa agensi kerajaan. — Facebook/CikRoseBani

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menafikan bahawa sijil kelahiran lama dikeluarkannya sudah tidak sah untuk digunakan bagi sebarang urusan termasuk ketika bersama agensi kerajaan.

Menurut jurucakap JPN, jabatan itu tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan mengenai pembatalan dokumen sijil kelahiran terdahulu yang dikeluarkan.

"Ia (sijil kelahiran lama) masih sah dan sahih untuk digunakan," katanya kepada Majoriti.

Komen tersebut merujuk kepada dakwaan tular di sosial media mengatakan sijil kelahiran lama sudah tidak sah untuk digunakan bagi urusan rasmi termasuk ketika bersama agensi kerajaan.

Seorang pengguna Facebook, CikRose Banim mendakwa ketika berurusan berurusan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dia dimaklumkan sijil kelahiran lama milik salah seorang ahli keluarganya itu sudah tidak sah untuk digunakan dan perlu ditukar dengan yang baharu.

SURAT

Menurut JPN, sijil kelahiran dikeluarkan jabatan itu tidak mempunyai had tempoh kesahihan untuk penggunaannya. — Gambar hiasan

Mengulas lanjut, jurucakap JPN itu berkata, kejadian terbabit berkemungkinan berlaku kerana keadaan sijil kelahiran lama yang digunakan individu berkenaan sudah rosak.

"Boleh jadi sijil kelahiran lama itu tidak lagi dalam keadaan baik dan terdapat maklumat di atas dokumen itu sukar dibaca," katanya.

Disebabkan itu, menurutnya, pihak agensi kerajaan terbabit berkemungkinan meminta individu tersebut untuk membuat cabutan sijil kelahiran di JPN bagi mendapatkan salinan baharu dokumen tersebut dengan paparan maklumat lebih jelas.

Jurucakap JPN menegaskan bahawa jabatan itu tidak menetapkan sebarang had tempoh kesahihan penggunan dokumen berkenaan dari tarikh ia dikeluarkan.

perkeso

Perkeso memaklumkan pihaknya masih menerima penggunaan sijil kelahiran lama ketika urusan di semua pejabatnya. — Gambar hiasan

Disebabkan itu, ia memaklumkan bahawa sijil kelahiran terbabit sah untuk digunakan selagi ia tidak rosak.

"Kalau orang awam nak dapatkan nasihat atau info lebih lanjut, mereka boleh dapatkan maklumat sahih di portal JPN atau emelkan pertanyaan ke [email protected]," ujarnya.

Dalam pada itu, Perkeso ketika dihubungi Majoriti memaklumkan bahawa penggunaan sijil kelahiran lama masih diterima bagi urusan di semua pejabatnya.

"Perkeso tidak mempunyai polisi seperti yang disebutkan (tidak terima sijil kelahiran lama untuk sebarang urusan)," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram