Marzuki akui kagum pengalaman, persembahan ex-TRW di padang latihan Sabah FC


  • Podium
  • Khamis, 08 Jun 2023

Marzuki menegaskan kehadiran pemain kelahiran Sepanyol itu cukup penting demi skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC

ISU pengurusan yang berlanjutan dialami Kelantan FC musim ini berakhir dengan siri beberapa pemain yang meninggalkan kelab Pantai Timur tersebut.

Pemergian Christian Rontini, Carli de Murga dan Shafiq Shaharudin seperti memulakan episod gelap berkenaan dengan sebilangan yang lain turut mengikut langkah.

Baru-baru ini, seorang lagi juga memilih untuk menamatkan kontraknya bersama skuad The Red Warriors (TRW) selepas isu tersebut semakin meruncing.

Pemain pertahanan sayap, Miguel Cifuentes mengumumkan pemergiannya daripada Kelantan FC menerusi satu hantaran di laman Instagram peribadinya pada Sabtu lalu.

Kehilangannya dijangka akan memberi kesan terhadap skuad TRW memandangkan pemain kelahiran Sepanyol itu muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan dalam saingan Liga Super.

Tidak cukup dengan itu, kebolehannya untuk beraksi di beberapa posisi juga memberikan satu kelebihan buat mana-mana pasukan di dalam dan luar negara.

2094000

Cifu (kiri) mempamerkan persembahan cukup baik ketika bersama skuad TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Jadi, untuk meneruskan kariernya dalam bola sepak, Cifuentes atau lebih dikenali sebagai Cifu memilih untuk menyertai pasukan gergasi Liga Super, Sabah FC.

Kehadiran pemain berusia 32 tahun itu dijangka akan menyuntik dimensi baharu buat skuad Sang Badak yang bakal beraksi dalam saingan Piala AFC selewat-lewatnya pada Ogos.

Bagaimanapun, dengan tempoh perpindahan Liga Malaysia hanya akan dibuka pada Julai, pemain berkenaan terpaksa melupakan peluang untuk bermain, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kebolehannya di atas padang.

Namun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir, kualiti yang ditunjukkan Cifu ketika sesi latihan cukup membanggakan.

"Saya tak boleh katakan lagi kerana saya masih belum nampaknya bersama Sabah FC. Cuma, dari segi training, nampak pengalamannya, bagus untuk pasukan.

"Apabila kita memiliki Cifu, ia akan menambah kekuatan dalam pasukan selain membantu dari segi pemilihan pemain," katanya kepada Majoriti.

351118837_243954124995842_8124213430948545918_n

Cifu memilih untuk berkelana ke Sabah FC selepas menamatkan kontraknya bersama Kelantan FC. Facebook/Sabah FC

Ketika ini, pasukan Borneo itu mempunyai beberapa pemain yang boleh diturunkan di posisi tersebut, termasuk Kwang Min-ko, Rizal Ghazali dan Jefri Firdaus Chew.

Bagaimanapun, isu kecergasan dan konsistensi menyaksikan skuad Sang Badak sedikit bergelut sehingga mereka kini berada di tangga kelima selepas 13 perlawanan.

Sementara itu, Cifu yang sudah beraksi bersama Kelantan FC sejak Februari lalu muncul sebagai antara pemain terbaik mereka dengan empat gol yang dijaringkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram