SELANGOR FC meneruskan langkah ke aksi seterusnya menerima jemputan ke negeri Serambi Mekah untuk menentang pasukan Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.
Dengan membawa kenangan pahit lantaran tewas dengan PDRM FC 0-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu lalu, skuad Gergasi Merah tidak boleh membenarkan pasukan Pantai Timur itu mencetak kemenangan kedua sepanjang liga tersebut.
Bukan apa, pasukan KUFC masih dalam mood kemenangan apabila berjaya membenamkan Kelantan FC (TRW) 4-1 pada Jumaat lalu, sekali gus meletakkan skuad Sang Kijang Hijau itu kini di tangga ke-12 dalam kejohanan domestik itu.
Walaupun Selangor FC masih kekal di tangga kedua carta Liga Super musim ini, boleh jadi luka akibat 'digari' skuad Sang Saka Biru itu masih belum sembuh.
Jadi dengan motivasi rendah selepas tewas kepada PDRM FC, tidak mustahil skuad Merah Kuning itu dibenamkan oleh pasukan yang kini di bawah kendalian penolong jurulatih KUFC, Nazrulerwan Makmor itu dalam perlawanan tersebut walaupun mereka hanya skuad 'underdog'.
Apa-apa keajaiban boleh berlaku dalam dinamik perlawanan yang sentiasa berubah, apatah lagi apabila selepas kemenangan KUFC yang di luar jangkaan peminat bola sepak tempatan.
Selangor FC tewas kepada PDRM FC 0-1 dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu — Facebook/ Selangor FC
Berdasarkan corak permainan skuad The Red Giants semasa bertembung dengan PDRM FC, serangan Selangor FC dikatakan agak tumpul untuk menembusi tembok pertahanan lawannya yang kental itu.
Selain itu, taktikal pertahanan kelab Lembah Klang itu juga agak lemah akhir-akhir ini, menjadikan skuad Sang Saka Biru mampu menjaringkan satu gol buat pasukannya.
Kalau diikutkan dari segi prestasi perlawanan pada Sabtu lalu itu, banyak perkara yang perlu diperbaiki Gergasi Merah itu supaya tidak dibenamkan oleh skuad Sang Kijang Hijau di tempat lawan.
Ditambah dengan kemenangan KUFC pada Jumaat lalu, para peminat TRW dilihat berpaling arah kepada skuad Sang Kijang Hijau, jadi sokongan mereka di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu untuk perlawanan pada Rabu pastinya bertambah.
Ini juga berikutan pelbagai kemelut dalaman yang melanda skuad milik Norizam Tukiman itu hingga menyaksikan ramai pemain angkat kaki daripada kelab tersebut yang secara tidak langsung menjadikan penyokong semakin tawar hati untuk memberikan sokongan.
Jika Selangor FC tidak membuat sesuatu untuk memperbaiki taktikal perlawanan mereka, tidak hairanlah skuad underdog itu boleh menjaringkan gol untuk peminatnya dan terus mencalarkan rekod kemenangan lawan dan terus mendaki carta Liga Super musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,