KEKALAHAN Selangor FC selepas 'digari' skuad PDRM FC 0-1 dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu masih menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Mana tidaknya, rekod kemenangan skuad The Red Giants terus dicalarkan oleh pasukan di tangga kesembilan liga itu apabila menerima kekalahan ketiga dalam kejohanan domestik berkenaan.
Ternyata penggunaan taktikal 'parking bus' yang sering digunakan oleh skuad Sang Saka Biru berjaya mematahkan serangan pasukan Merah Kuning, sekali gus membuatkan mereka kempunan untuk menjaringkan sebarang gol.
Khabar duka tersebut bukan sahaja mengecewakan pasukan berkenaan, malah tempiasnya turut terkena pada peminat-peminat Selangor FC yang rata-rata sukar menerima hakikat ditewaskan oleh PDRM FC.
Malah ada peminat yang mengatakan bahawa berita sedih tersebut boleh menyebabkan mood sehariannya terganggu.
Selangor FC perlu bangkit daripada kekalahan menentang PDRM FC dalam perlawanan seterusnya bagi merawat luka para peminatnya. — Facebook/ Selangor FC
"Dia punya kekecewaan kalah dengan PDRM, sampai hari inilah (masih terasa) tak boleh bawa bincang. Boleh hilang mood seminggu," kata @lifestyle_lensa.
Selain itu, seorang pemerhati bola sepak, Azmiabdullah menyifatkan benteng pertahanan Selangor FC yang lemah semasa perlawanan menentang PDRM FC pada Sabtu itu sebagai punca pasukan terus dibenamkan pihak lawan.
"Yang lemahnya bahagian pertahanan bolosnya banyak itu yang sepatutnya cari import pertahanan yang berkualiti.
"Biar dua orang pemain pertahanan main pun tak apa janji dia mampu menjaringkn gol itu lagi baik," katanya.
Dalam pada itu, bagi Ahmad Amir, walaupun tidak dinafikan skuad Gergasi Merah itu mempunyai rekod pencapaian yang baik pada musim kali ini, namun dia tetap gusar akan prestasi mereka apabila menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam peringkat separuh akhir Piala FA pada 26 Jun nanti.
"Kalau lawan PDRM pun tak lepas, nanti Piala FA semi final lagi perit nak jumpa JDT. Memang (setakat) semi final sajalah kita, good job ada achievement juga season ini," katanya.
Selangor FC akan meneruskan langkahnya dalam aksi Liga Super 2023 menentang Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,