VAR mungkin diguna pada semi final atau final Piala Malaysia — FAM


  • Podium
  • Selasa, 06 Jun 2023

Piala FA musim lepas menyaksikan JDT berhasil menewaskan TFC pada aksi final musim 2022. — Facebook/TFC

TEKNOLOGI video bantuan pengadil (VAR) tidak sempat untuk dilaksanakan pada aksi separuh akhir Piala FA yang dijadual berlangsung pada akhir Jun ini.

Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram berkata, ini kerana pengadil dan penolong pengadil perlu menjalani latihan selama enam bulan bermula pertengahan Jun, sebelum teknologi itu boleh digunakan untuk mana-mana perlawanan.

Bagaimanapun, katanya peminat bola sepak tanah air dijangka berpeluang menyaksikan pelaksanaan VAR pada aksi separuh akhir dan final Piala Malaysia 2023 yang dijadual berlangsung pada akhir tahun ini.

"Latihan pengadil (untuk teknologi ini) akan dijalankan bermula Jun hingga November ini, mereka perlukan enam bulan latihan.

"Mungkin harapan kita (untuk gunakan VAR) pada semi final atau final Piala Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

FAM sebelum ini memaklumkan teknologi VAR akan digunakan pada beberapa perlawanan penting termasuk aksi separuh akhir dan final Piala Malaysia serta Piala FA tahun ini.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 20.18.41

Sivasundaram ketika ditemui di Wisma FAM di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa. — Facebook/FAM

Namun, aksi separuh akhir Piala FA kali ini yang melibatkan Selangor FC menentang Johor Darul Takzim (JDT), manakala Terengganu FC (TFC) menentang Kuala Lumpur City (KL City) dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Jun ini.

Terdahulu, Sivasundaram berkata, hasil mesyuarat pada Selasa memutuskan 20 pengadil dan 10 penolong pengadil daripada Kategori A dan A1 dipilih untuk latihan berkenaan sebelum ditauliah sebagai pengadil VAR pada tahun ini.

Beliau berkata, latihan yang akan tertumpu kepada latihan pengadil, simulator VAR, latihan perlawanan secara langsung, pengiktirafan teknologi VAR dan pengiktirafan stadium yang menggunakan VAR.

"Untuk VAR ini kami telah berada di peringkat akhir dan ia dilaksanakan bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)...FAM dan MFL telah menghubungi lima syarikat pembekal teknologi VAR untuk Liga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, FAM pada Selasa turut mengumumkan kerjasama bersama syarikat pengeluar minuman tenaga, Extra Joss sebagai rakan penaja terbaharu skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya untuk tempoh setahun. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram