Tewas di tangan Uzbekistan, DNA 'long ball' boleh punahkan harapan Harimau Muda di Piala Asia


  • Podium
  • Selasa, 06 Jun 2023

Antara aksi pemain B-17 negara ketika perlawanan menentang Uzbekistan di Stadium UiTM pada Selasa. — Facebook/FAM

SKUAD bola sepak kebangsaan Bawah 17 (B-17) terpaksa akur tewas di tanah air sendiri dalam perlawanan persahabatan antarabangsa selepas tewas nipis 2-3 kepada Uzbekistan di Stadium UiTM, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Skuad bimbingan Osmera Omaro menerima asakan tidak putus-putus daripada pasukan pelawat sebaik sahaja perlawanan bermula dan hasilnya Uzbekistan berada di depan pada minit ke-12 menerusi jaringan ketua pasukan, Mirzaev Lazizbek.

Enam minit kemudian, pemain Harimau Muda berhasil memanfaatkan situasi set-pieces apabila Farish Danish Mohd Asrul berada dalam kedudukan baik untuk mencari ruang dan buat gol penyamaan pada minit ke-18.

Bersambung pada babak kedua, barisan tonggak pertahanan Malaysia seperti tidak berdaya untuk menjaga kubu apabila pasukan pelawat bebas melakukan percubaan.

Seperti dihukum dengan kelalaian sendiri, gawang pasukan B-17 negara sekali lagi menerima dua jaringan gol dari pemain Uzbekistan menerusi rembatan dari Uktamov Ozodbek dan Abdullaev pada minit ke-63 serta 70.

Jika dibandingKan dengan separuh masa pertama, corak permainan anak-anak buah Osmera semakin kelihatan kucar-kacir sehingga pasukan pelawat mudah mencuri peluang untuk mencipta jaringan.

Situasi set-pieces sekali lagi memberi kelebihan kepada skuad B-17 apabila Ryan Fahreen berhasil menambah jaringan buat Malaysia pada minit ke-79.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 22.56.19

Ryan Fahreen mencetak jaringan kedua buat Malaysia. — Facebook/FAM

Susulan tewas di tangan Uzbekistan itu, penyokong bola sepak tidak meletakkan harapan tinggi buat skuad B-17 pada saingan Piala Asia di Thailand yang bermula 15 Jun ini dan rata-ratanya tidak gemar dengan corak permainan Osmera yang masih menggunakan taktikal 'long ball'.

“Kena kurangkan simpan bola dalam kawasan sendiri. Sangat bahaya, macam biasa adat bola Malaysia terlalu sayangkan dengan 'long ball' walaupun pemain kita kecil,” komen penyokong, Zack Maya.

“Main macam ini, nak pergi jauh macam mana Piala Asia B-17 di Thailand nanti. Takut nak main, tahu main lontaran jauh sahaja,” tambah penyokong, Mohamad Hafiz Fiz.

“Jurulatih Osmera terapkan permainan apa ini. Kelam-kabut main sahaja. Asas main bola pun kelaut. Banyak kesilapan,” kata seorang lagi penyokong, Ewan Torres.

Selepas ini, skuad B-17 dilaporkan bakal menghadapi satu lagi pasukan gergasi Asia iaitu Arab Saudi pada Jumaat ini sebagai medan persiapan sebelum saingan Piala Asia bermula pada 15 Jun hingga 2 Julai 2023 di Thailand. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram