Saya dan Kacak banyak bincang mengenai TRW, dapatkan pandangan beberapa jurulatih — Vida


  • Podium
  • Selasa, 06 Jun 2023

Sekiranya Kelantan akan menjadi milik Vida semula, Kacak akan menjadi individu yang akan menjadi penaung pasukan itu. — Instagram/Vida

PERANCANGAN Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida untuk mengambil semula Kelantan FC bukanlah sekadar omong kosong dan harapan palsu kepada penyokong kelab itu.

Sebelum ini, Majoriti mendedahkan bahawa Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd yang juga bekas penaja pasukan skuad The Red Warriors (TRW) itu terbuka untuk merampas semula Kelantan FC daripada Norizam Tukiman.

Lebih menarik, usawahan selebriti itu juga berkongsi bahawa, anak lelakinya, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau lebih terkenal sebagai Kacak akan menjadi individu yang akan menjadi penaung pasukan itu.

Menerusi laporan dari Stadium Astro pula, Vida menyatakan bahawa beliau sudah mempunyai dana untuk pelan 10 tahun akan datang buat Kelantan bagi membantu pasukan itu ke tahap lebih selesa.

WhatsApp Image 2023-06-02 at 23.10.49

Vida bersama barisan pemain Kelantan pada musim 2016. — Facebook

“Kelantan telah berkali-kali tukar pemilik, sampai bila nak duduk di tahap ini sahaja dan siapa pula boleh bawa bola sepak Kelantan ke tahap lebih selesa.

“Saya belum lagi bertemu Zamsaham (pemilik semasa TRW, Norizam Tukiman). Liga sudah bermula, ada lima bulan lagi untuk habiskan musim ini.

"Saya ada dana untuk pelan 10 tahun akan datang tapi jika dana ini hanya untuk tutup hutang sekarang ini, saya rasa ada masalah sikit,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada dua anak itu juga berkongsi bahawa dia dan Kacak sedang aktif mendapatkan pandangan dari beberapa jurulatih berhubung perancangannya itu.

Tindakan tersebut adalah bagi mengelak daripada mengambil langkah salah jika membina pasukan Kelantan nanti.

"Kali ini kami tidak akan buat sekadar kemudian hanya untuk lepaskan. Kali ini kami nak buat macam seorang bayi yang akan dibesarkan.

"Saya dan Kacak banyak berbincang dan kami juga mendapatkan pandangan beberapa jurulatih

"Satu penaja dan satu lagi penaung yang hebat. Jadi Kacak akan jadi penaung yang hebat dan saya di belakang tabir sahaja. Kesian bola sepak, nak tengok apa kalau lihat macam jaguh kampung,” tambahnya. Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram