‘Mungkin dalam 4,000 tahun lagi’, Mat Don tiada jiwa kebangsaan, perlekeh imaginasi Stadium Selangor


  • Podium
  • Selasa, 06 Jun 2023

Liridon dikecam sebahagian penyokong dan menyifatkan pemain naturalisasi itu tidak mempunyai jiwa kebangsaan. —Instgaram/Liridon

BARU-BARU ini bekas wartawan penyiaran sukan dunia, Andy Penders mencuri tumpuan penyokong bola sepak domestik dengan membuat gambaran beberapa stadium terkenal tanah air.

Antara gambaran imaginasi stadium yang dimuat naik oleh Penders di laman Instagram miliknya ialah Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Stadium Shah Alam dan Stadium Darul Aman.

Bukan hanya mendapat respons daripada penyokong bola sepak domestik, malah gambaran stadium yang berwajah baharu itu juga menerima sambutan baik daripada pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Stadium SSI yang kelihatan seperti corak harimau itu membuatkan Tunku Ismail bersetuju dengan gambaran imaginasi daripada bekas pengacara Fox Sports tersebut.

“Jangan galakkan saya, awak memberikan saya idea,” komen TMJ pada hantaran tersebut.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 16.29.16

Tangkap layar komen TMJ pada hantaran Penders.

Respons positif daripada Tunku Ismail itu membuatkan ramai penyokong Harimau Selatan sepakat mempercayai bahawa pemilik JDT itu berkemungkinan akan merealisasikan gambaran imaginasi SSI 2.0 tersebut.

Sementara itu, Stadium Shah Alam pula mendapat respons berbeza daripada sebahagian penyokong tempatan termasuk pemain naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi yang seakan-akan tidak mempercayai rumah Selangor FC tersebut akan berwajah baharu seperti gambaran Penders.

Tonggak Terengganu FC (TFC) itu dilihat meninggalkan komen berbaur negatif dan seperti memperlekeh kemampuan Selangor FC untuk membina rumah baharu serta menggantikan Stadium Shah Alam.

“Mungkin dalam 4000 tahun lagi,” komennya pada hantaran tersebut sehingga ada penyokong menyifatkan pemain yang mesra dengan sapaan Mat Don itu tidak mempunyai jiwa kebangsaan.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 16.29.25

Tangkap layar respons dari Mat Don berhubung gambaran imaginasi Stadium Shah Alam.

Walaupun Mat Don memperlekeh gambar tersebut namun hakikatnya penyokong kelab Gergasi Merah sedang menantikan Stadium Shah Alam berwajah baharu apabila difahamkan ia akan dibangunkan semula.

Difahamkan, Stadium Shah Alam versi baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi dikatakan setaraf dengan Stadium Anfield malah mungkin mengatasi kehebatan gelanggang kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Stadium baharu yang akan dibina bermula tahun ini mempunyai kapasiti antara 35,000 hingga 45,000 penonton dan menariknya ia dilengkapi dengan sistem penyejukan tempat duduk.

Menurut laman Menteri Besar Incorporated (MBI), projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dengan keluasan 76.08 hektar itu akan mempunyai sebuah stadium bertaraf dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram