Lupakan Safawi, ini 3 wajah baharu ‘full package’ wajar dipanggil Kim Pan-gon


  • Podium
  • Selasa, 06 Jun 2023

Dalam dua aksi persabatan sebelum ini, Malaysia merekodkan kemenangan ketika bertemu Turkmenistan dan Hong Kong pada Mac lalu. — Bernama

PERSEDIAAN Harimau Malaya untuk ke saingan Piala Asia di Qatar pada Januari 2024 disambung lagi dengan perlawanan persahabatan menentang dua pasukan iaitu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.

Perlawanan yang bakal menyaksikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Terengganu itu sebagai rumah sementara skuad kebangsaan semakin dinanti-nanti para penyokong bola sepak tanah air.

Pastinya kini ramai pemain ke-12 Harimau Malaya sedang menantikan senarai nama pemain yang bakal dipanggil Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa tersebut.

WhatsApp Image 2023-06-05 at 23.37.52

Kali terakhir Safawi beraksi bersama Harimau Malaya ketika kejohanan Piala AFF 2022.

Sejak pengendali dari Korea Selatan itu dilantik mengendali skuad senior pada Januari lalu, Pan-gon dilihat banyak melakukan eksperimen dengan memanggil beberapa muka baharu untuk diuji kekuatan mereka.

Oleh itu, tidak hairanlah jika sebelum ini kita pernah menyaksikan Pan-gon pernah membuat kejutan apabila tidak memanggil tonggak lincah, Safawi Rasid dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Mac lalu meskipun dia dikenali sebagai pemain ‘regular’ Harimau Malaya.

Menjelang dua lagi perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea, Majoriti menyenaraikan tiga wajah baharu yang mempunyai rekod gol serta minit permainan cemerlang, selain dipercayai mampu menambah sengat di bahagian serangan skuad kendalian Pan-gon;

1) Shahrel Fikri

WhatsApp Image 2023-06-05 at 23.32.20

Shahrel sudah mencetak empat gol bersama skuad Jang pada musim ini. — Instagram/Shahrel

Sejak menyertai Negeri Sembilan FC (NSFC) pada awal musim ini, Shahrel Fikri semakin mendapat semula sentuhannya di hadapan gawang lawan dengan mencetak banyak gol menarik bersama skuad Jang.

Buktinya, penyerang berusia 28 tahun itu merekodkan empat gol dan satu hantaran bantuan dalam saingan Liga Super dan satu gol dalam perlawanan Piala FA dengan sebanyak 12 penampilan ketika beraksi bersama skuad NSFC musim ini.

Bukan itu sahaja, pemain kelahiran Sabah itu juga semakin dapat peluang dari segi minit permainan yang mana setakat ini Shahrel mengumpul 568 minit berbanding 362’ ketika menyarung jersi Gergasi Merah pada musim lepas.

Pan-gon juga akan memerlukan Shahrel untuk mengemudi jentera serangan pada dua aksi penting itu berikutan Darren Lok dikhabarkan mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Sabah FC.

Shahrel sebelum ini pernah dipanggil untuk mewakili Harimau Malaysia ketika musim 2017 sehingga 2021 namun Pan-gon masih belum mencuba menggunakan kepakaran penyerang tinggi lampai itu.

2) T. Saravanan

WhatsApp Image 2023-06-05 at 23.31.59

Saravanan semakin mencipta nama bersama skuad Warga Kota. — Instagram/Saravanan

Pemain muda semakin meningkat naik, T Saravanan juga boleh menjadi calon sesuai untuk dipertimbangkan Pan-gon berdasarkan rekod gol dan minit permainannya bersama Kuala Lumpur (KL) City.

Berdasarkan data di laman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), pemain berusia 22 tahun itu sudah melakukan 11 penampilan empat gol dan satu bantuan gol dalam kesemua kejohanan domestik bersama skuad Warga Kota pada musim ini.

Selain itu, Saravanan juga pastinya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan taktikal Pan-gon berikutan corak permainan pengendali skuad kebangsaan Bawah 23 tahun (B23), E. Elavarasan mirip Harimau Malaya.

Aksi cemerlangnya dengan pernah menjaringkan hatrik semasa menentang Singapura dalam kejohanan Sukan SEA 2023 pada bulan lalu pasti boleh menarik minat Pan-gon untuk mencuba Saravanan.

3) Nik Akif Syahiran

WhatsApp Image 2023-06-05 at 23.32.10

Nik Akif antara watak utama Harimau Kumbang. — Instagram/NikAkif

Pemain yang sering mendapat panggilan mewakili skuad B23 Malaysia, Nik Akif Syahiran antara pemain wajar diberi peluang Pan-gon selepas memberikan persembahan memukau bersama Penang FC.

Dari segi rekod gol, pemain berusia 24 tahun sudah menjaringkan dua gol dan dua bantuan jaringan buat skuad Harimau Kumbang bagi saingan Piala FA dan Liga Super.

Nik Akif yang berperanan sebagai pemain tengah menyerang itu kelihatan semakin matang dalam permainannya jika dibandingkan ketika dia menyarung jersi Terengganu FC pada musim lalu.

Sering meninggalkan impak positif setiap kali diturunkan, tidak hairanlah jika penolong ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid menjadikan Nik Akif antara watak utama Harimau Kumbang musim ini dengan menyaksikan dia mengumpul sebanyak 743 minit permainan.

Malaysia akan memulakan perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomons pada 14 Jun (Rabu) diikuti dengan satu lagi perlawanan bertemu Papua New Guinea pada 20 Jun (Selasa). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram