XOX perlu kurang jadikan JDT sebagai contoh Liga M, Kerteh FC dipetik 'role model' terbaik bina pasukan


  • Podium
  • Isnin, 05 Jun 2023

Perak FC kini berada di kedudukan ke-11 selepas 13 perlawanan. — Facebook/PerakFC

PERAK FC yang kini berwajah baharu dengan melantik jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) Perak, Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih sementara nampaknya tidak berjaya memberikan impak positif dalam perlawanan pertama.

Dalam perlawanan ke-13 Liga Super pada Sabtu lalu menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) menempuh kakalahan kelapan musim ini apabila tewas 0-3 di tangan Terengganu FC (TFC).

Aksi yang berlangsung di Stadium Ipoh, Perak itu pada awalnya memberi sinar baharu buat penyokong skuad Seladang lagi-lagi selepas melantik Yusri sebagai pemangku jurulatih menggantikan Datuk Lim Teong Kim namun sangkaan penyokong setia Perak meleset.

Kekalahan demi kekalahan itu semakin sukar ditelan penyokong TBG yang mana mereka merindui untuk menyaksikan Perak menduduki kelompok teratas liga dan bukannya berada di kedudukan ke-11.

Namun ada juga sebahagian penyokong yang menasihatkan agar jangan terlalu meletakkan harapan besar kepada pasukan Perak FC musim ini dek kerana banyak rombakan dilakukan sejak XOX Bhd mengambil alih.

Tidak kurang juga segelintir pengikut setia TBG berpendapat pihak pengurusan juga sepatutnya memainkan peranan untuk tidak menjadikan Johor Darul Takzim (JDT) sebagai contoh untuk membentuk pasukan Seladang.

Seperti pendapat dari Hidir Kumo, penyokong Perak itu memberi nasihat kepada pihak pengurusan agar tidak menjadikan Harimau Selatan sebagai model untuk membangunkan pasukan Seladang.

WhatsApp Image 2023-06-05 at 18.00.54

JDT kekal unggul di persada liga dengan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 13 aksi Liga Super. — Facebook/JDT

Bukan itu sahaja, nasihat berkenaan juga termaktub kepada pasukan lain yang sering meletakkan JDT sebagai ‘role model’ namun sebaliknya taraf pasukan gergasi tanah air itu sudah jauh hebat dari kelab Liga Super lain.

“Pada aku XOX patut kurang-kurangkan sebut dan pandang ke arah JDT tu. Pada pendapat aku model JDT tu tak boleh diikut di negeri lain. Masalah sekarang kelab tu dah jadi 'kiblat'. Jadi susah negeri-negeri lain naik ikut cara sama. Harap boleh pandang ke kelab Siam tak pun Jepun walaupun division 3.

“Tak payah tengok jauh, Kerteh FC pun okay. Dalam masa yang sama bila asyik petik JDT, orang akan terlalu letak harapan tinggi. Dahlah glory hunter kuat. Perak pulak sentiasa di atas selama ini. Mana mahunya nak letak sasaran rendah sikit. Tak penyabar semua,” komennya.

Kerteh FC dipetik sebagai contoh berikutan kelab komuniti berpangkalan di Kertih, Terengganu yang diasaskan pada tahun 2018 itu kini dinilai pada harga sekitar RM10 juta.

WhatsApp Image 2023-06-05 at 18.00.53

Sebahagian pemain Kerteh FC. — Facebook/KertehFC

Nilai tersebut dipaparkan di dalam Dokumen Prospektus Penajaan Kerteh FC 2022/23 yang dikongsikan oleh kelab itu pada tahun lepas.

Menurut dokumen tersebut, 80 peratus daripada nilai tersebut disumbangkan oleh pemilikan hartanah (property ownership) projek pembinaan Kerteh Sports City (KSC) yang terdiri daripada sebuah stadium mini dengan padang sintetik yang diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berserta lampu limpah.

Sebagai rekod, setelah empat tahun diasaskan, kelab berjaya merangkul kejuaraan berganda dengan memenangi saingan Liga Premier (Terengganu Amateur League) dan Piala TAL pada tahun 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram