LUKA tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Piala FA belum habis sembuh, luka baharu Penang FC muncul lagi selepas mereka tewas kepada pasukan sama bagi aksi liga di Stadium Bandaraya, George Town, pada Sabtu.
Jaringan Corbin Ong dan Fernando Forestieri menyaksikan tiga mata milik skuad Harimau Selatan dan di sisi lain Harimau Kumbang terpaksa akur gagal memberi senyuman kepada penyokong di laman sendiri.
Kecundang di Bandaraya pada Sabtu itu juga menyaksikan Penang FC sudah merekodkan empat kekalahan berturut-turut termasuk satu perlawanan Pala FA, kali terakhir Harimau Kumbang mencatatkan kemenangan ketika menewaskan Kuching City 2-1 pada 27 April lalu.
Selepas ini, skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid akan melayan kunjungan Kuala Lumpur (KL) City yang dikira satu ujian besar juga apabila pasukan Warga Kota merekodkan dua kemenangan berturut-turut ketika menentang Sabah Fc dan Terengganu FC.
Ketika persiapan menentang skuad Lembah Klang itu sedang berlangsung, nampaknya pasukan Penang FC terutamanya pengendali mereka, Manzoor Azwira kelihatan sudah mendapat tonik baharu untuk bangkit.
Tonik baharu yang dimaksudkan ialah penolong ketua jurulatih Penang FC itu berkongsi pertemuannya bersama bekas rakan sepasukan sewaktu menyarung jersi Penang FA, Merzagua Abderrazak.
Manzoor Azwira bersama Merzagua. — Facebook/Manzoor
Penyokong Harimau Kumbang pasti mengingati legenda Penang dengan gelaran 'Great Merz', yang mana Merzagua dibawa masuk pada 1996 dari Maghribi dan pernah membawa pasukan tersebut menjuarai Liga Perdana pada 1998.
Menerusi perkongsian dari pengendali berusia 46 tahun itu, rakan baiknya menitip kata-kata semangat buatnya sambil berkongsi pengalaman dan ilmu dalam sukan bola sepak.
“Legend Merzagua. Rakan pasukan Penang FA 1996-97. Sahabat dan mentor. Sembang-sembang santai dan berkongsi pengalaman dan ilmu dalam bola sepak.
“Merzagua kata sabar,usaha dan berdoa tawakal kepada ALLAH. Hidup umpama roda...Kadang-kadang kita di atas kadang-kadang kita di bawah...Ingat itu,” kata Manzoor dalam hantaran di Facebooknya.
Untuk rekod, Merzagua pernah kembali ke pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu sebagai jurulatih yang mana pihak pengurusan melantiknya sebagai pengendali baharu pada musim 2012.
Di bawah kendalian Merzagua, Pulau Pinang beraksi dengan sangat baik, malah berjaya menjuarai saingan Piala FAM seterusnya layak untuk beraksi di Liga Perdana pada musim 2014. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram