Leburkan rekod tanpa kalah Tok Gajah di Darul Makmur, Mr Kuala Lumpur yakin mampu tangani semua lawan


  • Podium
  • Selasa, 06 Jun 2023

Josue musim ini mencetak enam jaringan gol dalam Liga Super bersama KL City. — Facebook/KLCity

KAPTEN Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue membuktikan berkali-kali bahawa dia adalah pemain terbaik untuk skuad Warga Kota dalam saingan Liga Super.

Pemain naturalisasi Brazil yang mempunyai dua kaps untuk Malaysia itu mempamerkan aksi yang cukup cemerlang dalam perlawanan menumpaskan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Ahad.

Dalam aksi ke-13 Liga Super tersebut, Josue membantu pasukan Lembah Klang itu menghapuskan rekod tanpa kalah Tok Gajah di tempat sendiri dengan membuat hantaran bantuan gol dan mencetak jaringan kedua.

Pemain berusia 34 tahun yang bersama KL City sejak 2017 itu mempamerkan visinya apabila dia melakukan hantaran masuk yang cantik untuk penyerang, Tchetche Kipre dan berjaya menyempurnakannya pada minit kelima.

Anak-anak buah Fandi Ahmad mendapat gol penyamaan pada minit ke-58 apabila pemain tengah Argentina, Stefano Brundo menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.

Detik memukau Josue hadir pada minit ke-76 apabila tonggak tengah itu mengatasi situasi tegang untuk membenamkan sepakan percuma kaki kiri yang cantik dari jarak 30 meter.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 14.32.48-2

Antara aksi pemain skuad Warga Kota ketika menentang Sri Pahang pada Ahad. — Facebook/KLCity

Walaupun dia dilihat sebagai pemain yang memberikan banyak sumbangan pada aksi di Darul Makmur itu, Josue kekal merendah diri, sebaliknya memuji kerjasama rakan pasukannya.

“Terdapat banyak usaha daripada rakan-rakan saya. Dua pemain tengah di belakang saya sangat hebat dalam menyokong pemain menyerang dan barisan belakang.

“Tiada Paulo, Tchetche dan Romel (Morales) tanpa mereka. Kami menunjukkan kepada orang lain bahawa kami mempunyai pasukan yang kuat dan bersedia untuk menghadapi mana-mana lawan,” kata pemain dengan gelaran Mr Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, jurulatih skuad The City Boys, Bojan Hodak gembira dengan persembahan Josue.

“Itulah sebab kenapa kita kekalkan dia. Itulah bahagian terbaik permainannya. Tendangan sudut dan sepakan percumanya adalah kekuatannya.

“Kami bermain dengan cemerlang dalam 25 minit pertama tetapi terlalu menekan pada penghujung, dan tidak dapat mengawal keadaan.

“Di Malaysia, setiap kali pasukan mendapat gol pertama, mereka jatuh dan bertahan. Mungkin ia satu tradisi yang perlu kita patahkan,” komen pengendali dari Croatia itu.

KL City kekal di tempat keenam dengan 22 mata tetapi hanya tiga mata di belakang Pahang di tempat ketiga.

Dengan Josue dalam prestasi sebegitu, pastinya City Boys akan terus meningkatkan kedudukan dalam beberapa minggu akan datang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram