KETUA Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui pasukannya kehilangan keyakinan dan rentak sehingga menyebabkan mereka tumbang 0-3 kepada Terengganu FC pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Perak, pada Sabtu.
"Pemain saya sebenarnya telah memberikan yang terbaik dan semampu mereka dan saya faham mereka masih dihantui dengan isu keyakinan yang perlu kita tangani segera.
"Kami barisan kejurulatihan dan pemain senior sentiasa memberikan kata-kata positif kepada pemain dan ini satu kerja yang cukup besar untuk saya tangani, dalam tempoh tiga hari sebelum bertemu Kedah FC,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Perak pada Sabtu.
Skuad Seladang kini berada di kedudukan ke-11 dalam saingan Liga Super. — Facebook/PerakFC
Yusri berkata, beliau akan meningkatkan usaha untuk mengembalikan keyakinan para pemainnya, bagi mengharungi baki perlawanan seterusnya memperbaiki kedudukan dalam liga.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner nyata gembira dengan kemenangan mengumpul tiga mata di Ipoh.
"Kami bermain dengan baik dan mempunyai banyak peluang. Ada perlawanan kita tidak sepatutnya kalah tetapi inilah bola sepak dan kini kami gembira kerana selepas dapat tiga mata ketika bertemu Penang FC, dan sebelum itu satu mata ketika bertemu Sabah FC.
"Setiap perlawanan baharu satu cabaran baharu dan saya bagi tahu pemain untuk bermain dengan sepenuhnya jika hendak menang, dan hari ini kami berhak menang,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram