KAPTEN Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abdul Razak menegaskan bahawa dia masih belum berhasrat untuk menamatkan karier meskipun selepas mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL) buat kali kelima.
Bercakap kepada Stadium Astro, bekas penyerang skuad kebangsaan mengalami kecederaan tersebut ketika aksi suku akhir Piala FA menentang Selangor FC pada 27 Mei lalu.
"ACL adalah kecederaan yang paling ditakuti dalam sukan terutama bola sepak. Sakitnya teramat dan tidak dapat digambarkan emosi saya walaupun ia nampak biasa.
"Serta-merta saya tahu sudah mengalami ACL. Saya akan tetap dalam bola sepak. Lagipun ramai pernah mengatakan saya pasti akan gantung but tapi tiada dalam senarai saya lagi," katanya.
Zaquan yang kini berusia 35 tahun diberi kepercayaan untuk memimpin skuad Jang musim ini berdasarkan pengalaman serta tahun-tahun permainannya dalam Liga Super.
Tambahnya lagi, dia masih enggan untuk menggantung but kerana melihat dirinya masih boleh beraksi di tahap tertinggi selepas sembuh daripada kecederaan berkenaan.
"Saya tidak menyatakan akan bersara cuma selagi saya rasa masih mampu beraksi, maka saya teruskan," katanya. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram