PASUKAN PDRM FC mengejutkan 4,115 penonton di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Selangor dalam saingan Liga Super apabila berjaya menumbangkan Gergasi Merah dengan keputusan 1-0.
Dalam aksi yang cukup dramatik itu, skuad Sang Saka Biru yang bermain di laman sendiri berjaya menembusi gawang Selangor FC pada minit ke-61.
The Cops berhasil membolosi gawang gol yang dikawal kemas Khairulazhan Khalid menerusi jaringan Bruno Suzuki selepas kedua-dua pasukan terikat seri 0-0 sepanjang 60 minit permainan.
Jaringan itu membolehkan PDRM FC mengaut tiga mata penuh untuk melonjakkan pasukan ke tangga kesembilan.
Bruno Suzuki mencetak gol kemenangan PDRM. — The Cops
Selangor FC pula gagal merempuh roadblock pasukan PDRM FC yang cukup ampuh dikawal barisan pemain pertahanannya antara lain import kental dari Nigeria, James Okwuosa yang mematahkan serangan demi serangan Merah Kuning.
Skuad Gergasi Merah yang nampak menguasai perlawanan pada babak pertama, bagai hilang momentum apabila dikejutkan dengan gol Sang Saka Biru, namun dengan baki perlawanan kira-kira 36 minit termasuk masa tambahan, Selangor FC sukar mengejar keputusan tersebut.
Dalam perlawanan itu, antara insiden yang mencuri perhatian ialah ketika penjaga gol PDRM, Mohd Ramdhan Ab Hamid tiba-tiba rebah depan gawang sebelum 'keeper' simpanan, Nor Hakeem Hamidun dimasukkan sebagai gantian.
James Okwuosa menggunakan kelebihan fizikal untuk merantai pemain Gergasi Merah. — The Cops
Sepanjang beraksi, Mohd Ramdhan juga wajar dipuji kerana turut mempamerkan aksi cemerlang kerana berjaya mengawasi gawang The Cops dengan baik.
Seorang penyokong, Lan Meru berkata, kekalahan Selangor FC tidak sepatutnya berlaku tatkala pasukan itu berada dalam momentum kemenangan selepas menewaskan Negeri Sembilan dalam saingan Piala FA dan Kedah Darul Aman FC, tempoh hari.
Pertahanan Selangor FC, Quentin Ching antara yang menerima kritikan kerana persembahan yang kurang menyakinkan.
"Gol PDRM totally salah Quentin, dengan stail lari-lari anak dia, langkah kecil pastu ball watching...crossing tiada kualiti, dribbling tak kemas, macam mana boleh dapat main level Liga Super.
Permainan Selangor FC dapat dibaca dengan baik oleh pemain Sang Saka Biru. — The Cops
"Come on Tan Cheng Hoe, semua team lawan Selangor memang parkir bas. Banyak game dah, takkan display sama je Selangor bagi, pasukan lain semua dah dapat baca (tahu)," kata penyokong.
PDRM FC pernah mengejutkan peminat bola sepak tanah air selepas menewaskan pasukan gergasi, Kedah Darul Aman (KDA FC) di laman lawan dalam saingan awal musim ini.
Selain KDA FC, The Cops sebelum ini pernah menundukkan Kelantan United, Kuching City dan Kelantan FC, selain seri dengan Perak FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram