Tewas kepada JDT, Glassock mahu bangkit bantu Tok Gajah buru 3 mata bertemu KL City


  • Podium
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Glassock merupakan antara tonggak utama skuad Tok Gajah musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC

KEKALAHAN 0-2 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada 24 Mei lalu tidak mahu dianggap sebagai noktah kepada musim baik yang sedang diharungi Sri Pahang.

Pandangan itu dilontarkan tonggak pertahanan, Michael Glassock yang yakin bahawa Sri Pahang akan bangkit sebagai sebuah pasukan yang lebih matang.

Menurut pemain kelahiran Australia itu, dia sedar ramai yang menjadikan perlawanan menentang JDT sebagai kayu ukur kekuatan sesebuah pasukan.

Namun, baginya, apa yang lebih penting adalah belajar dan perbaiki kesilapan menjelang aksi Liga Super yang berikutnya menentang Kuala Lumpur (KL) City FC.

“Kita tewas kali pertama, itupun kepada pasukan terbaik dalam negara, adakah ia kegagalan, tidak, ia adalah proses yang menjadikan kita sebagai pasukan lebih baik.

WhatsApp Image 2023-06-03 at 17.59.14

Sri Pahang merupakan antara pasukan terbaik Liga Super musim ini. Facebook/Sri Pahang FC

“Moral dalam pasukan dalam keadaan sangat baik, dan semua pemain teruja mahu bantu kelab kembali ke landasan kemenangan pada perlawanan berikutnya menentang KL City. Kita akan perbetulkan kesilapan dan berjuang untuk tiga mata,” ujar Glassock.

Pemain berusia 23 tahun itu menambah, skuad Warga Kota pastinya hadir ke Stadium Darul Makmur, Pahang dengan keyakinan tinggi selepas kejayaan melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA setelah membenam Sabah FC.

“Kita tahu KL City berada dalam momentum yang baik, mereka sukar dijangka dan sudah tentu menjadikan ia sukar untuk kita. Mereka ada pemain-pemain berpengalaman seperti Giancarlo Gallifuoco dan ramai lagi.

“Kita perlu menjadi lebih baik di bahagian pertahanan, serangan perlu lebih bekerja keras untuk menjaringkan lebih banyak gol. Jika kita tambah baik tumpuan dalam aspek itu, kita tiada sebab untuk tidak menang,” ujarnya lagi.

Selepas 12 perlawanan, Sri Pahang berada di tangga ketiga Liga Super dengan 25 mata dan aksi menentang KL City pada Ahad ini adalah aksi terakhir untuk pusingan pertama. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram